Pihak pendakwaan boleh mengambil tindakan terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah atas kenyataan mereka mempersoalkan pertukaran hakim bagi kesnya, kata peguam Datuk Baljit Singh.

Beliau berkata mereka berdua membuat tindakan tidak sepatutnya dengan mempersoalkan pentadbiran keadilan.

"Apa yang didakwa sangat menghina kerana perbicaraan belum pun bermula. Ia membayangkan wujud motif tersembunyi dalam pemindahan hakim sebelumnya Datuk Sophian Abd Razak," katanya kepada Malaysiakini.

Peguam jenayah itu kerana perbicaraan belum bermula, maka penyimpangan keadilan tidak berlaku.

"Pihak pendakwaan boleh mengambil tindakan terhadap mereka berdua yang membuat kenyataan itu kerana ia sangat menghina," katanya lagi.

Semalam Shafee berkata Najib mempersoalkan pertukaran hakim dan telah menghantar sepucuk surat kepada hakim besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim dan hakim kesnya Mohd Nazlan Mohd Ghazali berhubung perkara itu.

Shafee dan Najib membangkitkan soal pentadbiran keadilan kerana kedua-dua pihak - pendakwa dan pembela - tidak memohon pertukaran itu.

Beliau berkata mereka tidak mempersoalkan kemampuan Nazlan mahupun ingin beliau ditukar tetapi mempersoalkan pertukaran yang dibuat secara tiba-tiba.

Sophian merupakan adik kepada salah seorang exco Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abdul Razak.

Ekoran itu beberapa pihak termasuk Majlis Peguam dan G25 menggesa agar Sophian tidak menjadi hakim bagi kes itu.