Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AG: Tiada konflik kepentingan dalam lantikan peguam 1MDB tuntut Equanimity
Diterbitkan:  Aug 9, 2018 10:38 AM
Dikemaskini: 2:50 AM

Peguam Negara Tommy Thomas berkata tidak timbul isu konflik kepentingan dalam pelantikan peguam dari firma guaman lamanya dalam pasukan peguam 1MDB bagi menuntut kapal pesiar mewah Equanimity.

Beliau berkata peguam tersebut, Sitpah Selvaratnam merupakan antara peguam perkapalan terkemuka negara dengan pengalaman lebih 25 tahun, selain pernah menjadi pengerusi Jawatankuasa Undang-undang Admiralti dan Perkapalan Majlis Peguam dan presiden Persatuan Undang-undang Antarabangsa bagi Undang-undang Maritim.

Tommy berkata lagi, urus niaga dan urusan korporat yang dijalankan Low Taek Jho rumit dan berlapis untuk menyembunyikan punca dana sebenar ketika membeli Equanimity.

"Oleh itu beliau merupakan pilihan yang jelas untuk menasihati Jabatan ini dan saya berhubung perkara ini," katanya dalam kenyataan.

Sitpah Selvaratnam (gambar) merupakan seorang daripada enam peguam yang dilantik Jabatan Peguam Negara untuk memulakan saman Admiralty In Rem (tindakan secara langsung terhadap harta selaku defendan) sebaik Equanimity berlabuh di Pelabuhan Klang semalam.

Pemuda Umno mempersoalkan kemungkinan ada konflik kepentingan dalam pelantikan Selvaratnam yang merupakan peguam di firma Tommy Thomas Advocates and Solicitors.

Mengulas lanjut, Tommy berkata prosiding itu untuk manfaat rakyat Malaysia dan negara berhak mendapat khidmat peguam perkapalan terbaik negara.

"Tiada persoalan percanggahan kepentingan kerana kita semua di pihak sama," katanya dan menjelaskan Selvaratnam tidak akan dibayar sebarang yuran guaman atas khidmatnya itu.

"Litigasi adalah dinamik dan peristiwa-peristiwa luar jangka berlaku di Mahkamah. Penting untuk memastikan kes Malaysia berada dalam tangan yang selamat," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS