Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PSM: 50,000 tukang cuci hospital k'jaan jadi 'hamba zaman moden'

Kira-kira 50,000 pencuci di hospital dan klinik kerajaan seluruh negara berisiko dieksploitasi dan dinafikan hak ekoran sistem kontrak tempoh tetap yang tidak memberi jaminan terhadap pekerjaan mereka, menurut Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Timbalan Pengerusi PSM M Sarasvathy mendedahkan kontrak perkhidmatan pembersihan untuk hospital diberikan kepada lima syarikat konsesi, yang mana empat daripadanya bawah UEM Group Bhd, UEM Edgenta Group, serta Khazanah Nasional Bhd.

"Syarikat-syarikat ini 'outsource' perkhidmatan pembersihan kepada subkontraktor untuk dua tahun. Ini menyebabkan subkontraktor menawarkan kontrak kerja untuk tempoh enam bulan, setahun atau dua tahun kepada pekerja.

"Jelas pekerjaan ini adalah tetap tetapi syarikat konsesi menjadikannya kelihatan seperi pekerjaan bermusim," katanya dalam sidang media di pejabat PSM di Brickfields, Kuala Lumpur hari ini.

Akibatnya, kata Sarasvathy, ketika majikan bertukar setiap dua tahun, para pekerja dinafikan hak mereka seperti bonus tahunan, cuti tahunan, kenaikan gaji, faedah penamatan kerja - dan mereka tidak boleh memohon pinjaman kerana mereka bukan pekerja tetap.

"Setiap kali mendapat majikan baru, mereka akan dianggap sebagai pekerja baru. Ada pencuci yang sudah bekerja lebih 20 tahun dan gaji mereka kekal RM1,000 dan hanya diberi cuti tahunan lapan hari.

"Mereka tidak boleh memohon pinjaman perumahan, kereta dan peribadi untuk pendidikan anak-anak," katanya lagi, menyifatkan pekerja itu melalui "perhambaan zaman moden".

PSM menggesa kerajaan Pakatan Harapan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) agar segera memansuhkan sistem kontrak tempoh tetap dalam sektor perkhidmatan sokongan di hospital kerajaan dan mengambil pencuci sebagai pekerja tetap, secara terus bawah majikan utama.

Sarasvathy berkata kerajaan juga perlu menjamin kontrak tempoh tetap bawah Seksyen 11 Akta Pekerja 1955 tidak disalahgunakan mana-mana pihak.

Lihat Komen
ADS