Ajar semua agama atau nilai universal di sekolah, kata penulis
Penulis dan pensyarah Dr Mohd Faizal Musa mencadangkan semua agama diajar di sekolah supaya pelajar dapat memahami agama lain dan sekali gus mengurangkan jurang perbezaan antara mereka.
Sekiranya tidak - kata penulis yang lebih dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani itu - nilai-nilai universal perlu dijadikan subjek pelajaran di sekolah.
“Sama ada kita ajar universal values atau nak ajar agama semua agama supaya kita tahu berkaitan agama lain juga.
“Di negara Eropah, Singapura ajar semua agama. Kalau tak nak ajar agama kita ajar universal values,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat keduanya dengan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) di Ilham Tower hari ini.
Faisal sebelum ini antara tokoh yang dijemput CEP bagi mendapatkan pandangan berhubung isu-isu melibatkan aspek agama Islam di negara ini.
Baca: Majlis Penasihat kerajaan bertemu mufti, tokoh agama
Terdahulu beliau ditanya mengenai perbincangan dalam mesyuarat berkenaan.
Katanya lagi, antara perkara lain yang perlu diberi penekanan berkaitan isu fatwa yang perlu ditangani kerana ia hanyalah pandangan (legal opinion).
"Bila ia (fatwa) digazetkan, dijadikan undang-undang. Dan bila anda langgar undang-undang itu atau lakukan kesalahan, anda dipenjarakan.
"Kita perlu satu standard, sebab itu saya kata fatwa boleh menjadi violation of human rights kalau kita tak betul-betul tangani sebab itu lebih baik kita amalkan satu environment yang sekular untuk negara Malaysia," katanya.
Bagaimanapun, perbahasan mengenai tafsiran 'sekular' yang sesuai di negara ini masih boleh dibahaskan.
"Dan tentu kita debat sekular macam mana adakah macam Perancis, macam Singapura? Itu terbuka untuk dibahaskan.
"Tapi kita kena kembali asas-asas yang ada dalam negara kita yang telah ditekankan dalam perlembagaan dan rukun negara," katanya.
Selain itu Faisal turut mencadangkan kerajaan merombak kaedah pentadbiran Islam dengan membentuk majlis penasihat terdiri daripada pakar profesional termasuk bukan daripada aliran agama.

