Terjemahan Para penganalisa keganasan menyifatkan mesej yang disiarkan dalam sebuah lamanweb oleh kumpulan yang tidak dikenali bahawa Amerika Syarikat, Thailand dan para sekutunya kini diambang 'kemusnahan' sebagai 'satu ancaman kosong'.

Mesej panjang lebar itu dalam bahasa Melayu dan Indonesia yang disiarkan pada 5 Oktober di Kuala Lumpur itu memuatkan "ancaman kemusnahan kepada regim kafir di Thailand, Amerika Syarikat dan negara-negara sekutu mereka".

Ia juga menasihatkan umat Islam di Filipina, Malaysia, Singapura dan Indonesia supaya mengelak berada di tempat awam, pejabat diplomatik, balai polis dan pangkalan tentera.

"Semua lokasi ini merupakan sasaran serangan akan datang. Elak daripada berada di lokasi-lokasi tersebut," katanya yang juga mengingatkan bukan Islam supaya "mengikis ego, hentikan keganasan atau anda akan benar-benar menyesal akibat daripada perbuatan tersebut".

Mesej tersebut ditandatangani oleh Abu Ukkasyah Al-Arabi, yang mendakwa sebagai Ketua Pemerintah Pusat Operasi Mujahiddin, sebuah pertubuhan yang tidak dikenali sebelum ini.

Rohan Gunaratna, ketua bahagian penyelidikan keganasan di Institut Pertahanan dan Strategik Singapura, berkata ancaman itu tidak berasas.

"Ia adalah kumpulan yang tidak wujud. Mereka tidak langsung memiliki kredibiliti," katanya kapada AFP.

"Ia adalah kumpulan jihad di sebalik lamanweb tersebut, tetapi tidak ada keupayaan untuk melancarkan serangan pengganas. Ia adalah kumpulan propaganda yang salahfaham mengenai tafsiran jihad. Mereka bukan satu ancaman fizikal. Rangkaian Al-Qaeda di Asia Tenggara sudah dilumpuhkan."

Bagaimanapun, Gunaratna berkata lamanweb tersebut mesti ditutup.

"Lamanweb itu dihoskan di Amerika dan didaftar menggunakan alamat di Malaysia. Kedua-dua pihak Malaysia dan Amerika mesti mengambil tindakan," katanya.

Sikap merbahaya

Sementara itu, seorang penganalisa di Indonesia juga berkata, ia merupakan satu ancaman kosong, tetapi menegaskan ia boleh memberi kesan psikologi yang mungkin disebarkan oleh anggota militan.

"Saya rasa lamanweb itu merupakan satu ancaman psikologi yang serius dan kita patut melihatkanya sebagai satu ancaman serius terhadap umat Islam di negara kita" kerana ia boleh menggalakkan akvititi puak militan, kata penganalisa, Kusnanto Anggoro dari Pusat Pengajian Strategi dan Antarabangsa di Jakarta.

"Bahaya sebenarnya adalah mesej tersebut, sekali ianya dibaca oleh anggota militan yang boleh melayari internet, mesej salah itu boleh dilebarkan kepada para pengikutnya di negara ini," katanya.

Indonesia telah menjadi sasaran pengebom berani mati pada 1 Oktober apabila tiga lelaki meletupkan diri mereka di kawasan makan paling sibuk di pulau peranginan Bali, yang membunuh 20 orang.

Ia juga turut menjadi sasaran siri serangan bom oleh Jemaah Islamiyah yang dikaitkan dengan Al Qaeda, termasuk pengeboman di Bali pada 2002 yang membunuh hampir 200 orang, sebahagian besarnya pelancong Barat. Berita asal