Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib mungkin kena mengadap SPRM lagi
Diterbitkan:  Aug 10, 2018 8:38 PM
Dikemaskini: 12:43 PM

Datuk Seri Najib Razak mungkin dikehendaki hadir bertemu pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Langkah itu, kata sumber, perlu bagi membolehkan bekas perdana menteri berkenaan membantu siasatan berhubung dakwaan wang bernilai RM3.5 juta dicuri pengawal keselamatan baru-baru ini adalah milik Umno.

Sumber juga memberitahu, setakat ini jumlah nilai rampasan ekoran siasatan mengenai kes kecurian berkenaan mencecah RM1.19 juta.

"SPRM bercadang untuk memanggil Najib ekoran dakwaan beliau bahawa dana RM3.5 juta itu dimiliki Umno," katanya.

Kes kecurian membabitkan 17 pengawal keselamatan itu mula dilaporkan Malaysiakini pada 8 Ogos lalu.

Melalui laporan eksklusif berkenaan pengawal keselamatan terbabit ditugaskan mengawasi bangunan utama menempatkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya.

Bagaimanapun mereka disyaki melarikan wang berkenaan selepas mengetahui BN kalah dalam pilihan raya umum (PRU) pada 9 Mei lalu.

Ekoran itu Najib tampil mendakwa wang RM3.5 juta berkenaan sebenarnya adalah milik Umno dan meminta pihak berkuasa mengembalikan dana tersebut kepada parti yang berkenaan.

Najib yang gagal mengemudi BN untuk mendapat mandat daripada rakyat pada PRU ke-14 itu memberitahu Malaysiakini, dana tersebut diperlukan kerana Umno mempunyai banyak komitmen lain yang perlu dilunaskan.

Beliau juga hampir tidak percaya bahawa suspek terbabit tergamak mengambil wang berkenaan selepas mereka diamanahkan menjaganya.

Semalam sumber SPRM memberitahu nilai sitaan daripada suspek hampir berjumlah RM1 juta.

Suspek terbait - yang berusia antara 31 dan 51 tahun - kini ditahan reman oleh SPRM.

Kata sumber SPRM membuat sitaan baru melibatkan dua buah kereta, masing-masing sebuah Subaru Impreza dan Toyota Vios, serta sebuah motosikal berjenama Honda.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan penyitaan terbaru berkenaan.

Lihat Komen
ADS