Wawancara Malaysiakini

Bakal ketua pembangkang Selangor nak bela rakyat

Anne Muhammad  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

WAWANCARA | Pilihan raya umum (PRU) ke-14 mengubah hidup seorang pemuda yang sebelum ini dekat dengan kerja-kerja khidmat masyarakat.

Ia bermula apabila Rizam Ismail, 37, dipilih majoriti pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Tawar. Justeru dia muncul sebagai pemenang di kerusi berkenaan.

Kini cabaran Rizam bertambah lagi apabila namanya dicalonkan sebagai ketua pembangkang bagi DUN Selangor.

Menurut Rizam dia sendiri tidak pernah terfikir akan menjadi wakil rakyat pada suatu hari dalam hidupnya, apatah lagi diberi kepercayaan sebagai ketua pembangkang.

Secara berterus-terang dia mengakui tugas yang diberikannya itu nanti adalah mencabar berdasarkan kepada keadaan semasa yang menyaksikan pembangkang hanya mewakili kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota dalam DUN Selangor.

“Saya mohon sokongan semua pihak dan sedia menerima teguran supaya mampu menjadi ketua pembangkang berwibawa,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini baru-baru ini.

Pada PRU ke-14 lalu Pakatan Harapan (HARAPAN) mengekalkan mandat rakyat dengan kekal mentadbir Selangor.

Tak ada ketua pembangkang

Berbanding PRU ke-13 pada lima tahun lalu, HARAPAN menang lebih bergaya di DUN Selangor apabila memenangi 51 daripada 56 kerusi yang ada.

BN pula hanya mempertahankan empat kerusi manakala PAS - yang memilih untuk berseteru dengan HARAPAN - tinggal satu wakil saja.

Memang Rizam belum menjadi ketua pembangkang secara rasmi namun diyakini ia tidak menjadi sebarang masalah kerana BN hanya menghantar namanya kepada DUN Selangor sebagai calon tunggal mereka.

Majlis pelantikan rasmi Rizam sebagai ketua pembangkang dijadual akan diadakan bulan depan.

Untuk rekod sebelum ini DUN Selangor tidak mempunyai ketua pembangkang sejak Dis 2014 selepas ADUN Sungai Burong Datuk Shamsudin Lias melepaskan jawatannya.

Beliau mendakwa peletakan jawatan itu dibuat berdasarkan prinsip "integriti" serta sebagai menghormati undang-undang negeri yang mewajibkan ketua pembangkang memegang jawatan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC).

Menurut Rizam, cabaran terbesarnya sekarang ialah memastikan suara lima ADUN pembangkang didengari bagi menjadi jurusemak dan imbang kerajaan negeri.

“Kami akan mendesak dan beri cadangan untuk menguntungkan rakyat.

"DUN ialah tempat berbahas dan Umno akan bersama sesiapa sahaja untuk memastikan rakyat terbela.

“Walaupun jumlah kami kecil, saya tetap berdiri teguh menjadi pembangkang berwibawa bagi memastikan kedaulatan agama, raja dan kebajikan rakyat terbela di Selangor sebab selepas PRU ke-14, kerajaan mendapat mandat cukup besar dan kita tak nak mereka leka,” katanya.

Rizam berkata perkara pertama yang akan diambil perhatian dalam tempoh 100 hari menjadi ketua pembangkang nanti ialah memastikan isu isi rumah diperjuangkan dalam sidang DUN.

Selain itu, pemegang ijazah sains politik dari Universiti Terbuka Malaysia (OUM) itu berpendapat, perkara lain yang akan dilihat ialah isu peluang pekerjaan melibatkan graduan muda dan langkah-langkah yang akan diambil kerajaan bagi meningkatkan pendapatan Selangor.

“Hari ini pelabur kurang di Selangor, menjadikan ia kebimbangan kerana jika pelabur hilang kepercayaan akhirnya kerajaan negeri tertumpu pada cukai-cukai peniaga dalaman dan premium tanah.

"Ini akhirnya akan menekan rakyat," katanya.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata dia bersama rakan-rakan yang lain akan mengambil pendekatan mendesak kerajaan menunaikan janji manifesto PRU ke-14 di peringkat negeri.

“Sekarang isu besar ialah kerajaan tak dapat laksanakan janji, selain kehilangan pelabur luar.

"Hilang pelabur luar ini lebih bahaya. Ini yang akan menyebabkan negara muflis, bukannya 1MDB.

“Rakyat kena sedar ini. Kalau rakyat nak janji HARAPAN itu tertunai mereka kena sokong kami supaya dapat menjadi pembangkang yang kuat,” katanya.