Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Perbincangan awam kes Najib tidak jejaskan perbicaraan'
Diterbitkan:  Aug 11, 2018 2:05 PM
Dikemaskini: 6:09 AM

Perbincangan oleh media dan masyarakat umum berhubung kes yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak tidak akan menjejaskan proses perbicaraan kes berprofil tinggi tersebut di mahkamah, kata setiausaha politik anggota parlimen Iskandar Puteri, Syahredzan Johan.

Beliau yang juga seorang peguam berkata, ini kerana mahkamah di Malaysia tidak mengamalkan sistem juri.

"Maka laporan media dan wacanna awam tidak akan mempengaruhi perbicaraan. Ia tidak sepatutnya memprejudiskan hak Najib sebagai tertuduh untuk dibicarakan dengan adil.

"Jika terdapat perkara yang memprejudiskan haknya, ia boleh ditangani melalui tindakan fitnah dan menghina mahkamah, jika perlu," katanya (gambar) dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menolak permohonan Najib agar mahkamah mengeluarkan perintah larangan mengulas terhadap media dan orang awam terhadap kesnya.

Dalam keputusannya, Mohd Nazlan berkata permohonan itu sebagai tidak kukuh dan melanggar kebebasan bersuara.

Peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam penghujahan antara lain berkata, laporan media dan komen berhubung kes itu menjejaskan perbicaraan dan berisiko mempengaruhi saksi-saksi yang bakal memberi keterangan.

Syahredzan menyambut baik keputusan itu dan menyifatkannya sebagai pengiktirafan kepada peranan penting media dalam "Malaysia Baru".

"Larangan mengulas bertentangan dengan hak bersuara dalam Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan dan (prinsip) kebebasan media.

"Dalam sebuah negara demokratik, media mempunyai peranan sebagai 'kuasa keempat' untuk menyemak tindakan dan keputusan badan-badan awam. Ia juga wadah pertukaran maklumat dan wacana mengenai isu awam," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS