Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Ahli perniagaan yang kini dalam buruan, Low Taek Jho, boleh pulang ke Malaysia dan menuntut Equanimity jika merasakan dirinya pemilik yang berhak ke atas kapal pesiar mewah itu, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Satu-satunya orang yang mahu ambil tindakan undang-undang adalah Low. Untuk ambil tindakan undang-undang, dia boleh datang dan buktikan pada kita (kapal itu) kepunyaannya.

"Ia sangat mahal, kami mahu tahu dari mana dia dapat wang dan bila kita jejak wang itu, akhirnya kita akan dapati ia dari 1MDB,' katanya dalam sidang media di Pelabuhan Klang, selepas menaiki kapal itu hari ini.

Beliau bersama-sama sekumpulan pengiring - termasuk Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu - membuat lawatan itu selepas mendapat kebenaran mahkamah semalam.


Baca: Dr M akhirnya naik Equanimity


Mahathir mendakwa Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) telah memberi jaminan kapal itu memang milik Low tetapi dibayar menggunakan wang daripada 1MDB.

"Mereka (DOJ) kata jika kita mahu simpannya, kita berhak kerana ia milik kita, dibeli menggunakan wang rakyat yang dicuri dan apabila kita akhirnya menjual (Equanimity), kita berhak ke atas hasilnya.

"Tetapi Low dakwa kapal itu miliknya. Dia boleh pulang dan tuntutnya," katanya.

Pada 7 Ogos lalu, Low menerusi peguamnya dilaporkan berkata, Malaysia mendapatkan Equanimity "secara tidak sah" daripada pihak berkuasa Indonesia serta mencabuli undang-undang negara itu dan keputusan mahkamah.

Namun, Mahathir berkata Amerika Syarikat dan Indonesia bekerjasama dengan Malaysia untuk membawa kapal itu ke perairan negara.

"Jika ia belayar ke laut, kita ada hak untuk mengambilnya.

"Jadi Amerika (Syarikat) dan Indonesia bekerjasama dengan kita agar kita boleh ambil kapal yang memang milik kita," katanya lagi.

'Mungkin Bill Gates akan beli'

Mahathir berkata, walaupun tiada tempoh tetap untuk Low membuat tuntutan, kerajaan mahu menjualnya secepat mungkin.

Ini kerana menurutnya kos penyelenggaraan Equanimity terlalu tinggi, mencecah RM2 juta sebulan sepanjang berlabuh di Pelabuhan Klang.

"Anda perlu belanja banyak wang...Sebenarnya ia bukan yacht (kapal layar), tetapi kapal, sebuah kapal yang besar," katanya.

Ketika ditanya sama ada sudah ada pihak yang menunjukkan minat untuk membelinya, beliau berkata ada beberapa "khabar angin".

"Mungkin (hartawan) Arab atau Bill Gates yang tawar (untuk beli), sebab ia amat mahal, untuk selenggara (juga mahal).

"Saya juga tawar untuk beli, pada harga saya tentunya, tetapi mereka tidak setuju, jadi kita perlu undang pembeli dari seluruh dunia," katanya berseloroh.

Equanimity kali pertama dirampas pihak berkuasa Indonesia pada 28 Februari lalu.

Susulan pertembungan perundangan antara DOJ dan Equanimity (Cayman) Ltd, Indonesia kemudian membawa kapal itu ke Zon Perdagangan Bebas Batam untuk diserahkan kepada kerajaan Malaysia pada 6 Ogos lalu.

Equanimity tiba di Pelabuhan Kelang sehari kemudian.

Lihat Komen
ADS