Noh: Wartawan salahtafsir kenyataan saya
Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar menafikan ada mengeluarkan kenyataan menyuruh orang asing keluar dari Malaysia jika mereka rasakan polis negara ini melayan mereka dengan kejam.
Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar menafikan ada mengeluarkan kenyataan menyuruh orang asing keluar dari Malaysia jika mereka rasakan polis negara ini melayan mereka dengan kejam.
Noh berulang kali menafikan beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian sebaliknya mendakwa kenyataannya disalah tafsir oleh wartawan.
"Mungkin apa yang saya cakap wartwan tidak memahaminya. Tidak mungkin saya keluarkan kenyataan yang memburuk-burukkan imej negara," katanya.
Bagaimanapun pada masa yang sama, beliau memohon maaf jika ada mana-mana pihak yang tersinggung dengan kenyataan yang dibuat dalam sidang media di bangunan Parlimen semalam.
"Saya tidak bermaksud demikian walaupun saya ada menyebut perkataan "balik" . Saya secara terbuka minta maaf jika ada orang tersinggung dengan kenyataan itu," katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Katanya, kenyataan sebenar beliau ialah pendatang tidak akan datang jika polis Malaysia zalim.
"Kalau polis zalim sudah tentu mereka balik. Tetapi apa yang berlaku berpuluh ribu pelancong tinggal melebihi tempoh yang benarkan, ini bermakna polis baik," katanya.
Berita ditarik balik
Noh membuat kenyataan itu dalam sidang akhbar pagi semalam bagi menjelaskan isu seorang tahanan wanita yang dipaksa membuat ketuk ketampi semasa dalam tahanan polis di Petaling Jaya.
Beberapa akhbar bahasa Cina edisi petang semalam melaporkan kenyataan Noh yang menyuruh pendatang yang tidak puas hati dengan pemeriksaan polis terhadap mereka, keluar dari negara ini.
Kenyataan Noh itu juga disiarkan secara meluas oleh akhbar dan badan penyiaran luar negara.
Bagaimanapun kenyataan tersebut tidak disiar dalam akhbar-akhbar arus perdana dan akhbar berbahasa Cina edisi pagi hari ini.
Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, dalam satu sidang akhbar berasingan, mendakwa penarikan siaran berita tersebut dibuat oleh akhbar-akhbar berkenaan setelah mendapat arahan dari Jabatan Perdana Menteri.
Noh, yang dilihat berada di bilik media di Parlimen semalam, dikatakan telah memberitahu wartawan supaya tidak membesar-besarkan isu tersebut.
Bagaimanapun, hari ini beliau menafikan telah mengeluarkan arahan seumpama itu.
"Tidak. Saya hanya mendapat tahu mengenainya pagi ini di Dewan (Rakyat) daripada (Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan) Datuk Shahrir (Abdul Samad)," katanya.
Sementara itu, Lim berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi patut menggantung tugas Noh kerana kenyatan tersebut menghina pendapat awam dan hak asasi manusia.
'Sindrom penafian'
"Saya sangat terkejut dengan kenyataan tersebut, ia sangat memalukan. Kenyataan Noh itu sangat angkuh, seolah-olah melindung anggota polis yang melanggar undang-undang," katanya di parlimen hari ini.
Manakala dalam sidang Dewan rakyat, Lim membuat usul supaya gaji Noh dipotong RM10 kerana mengeluarkan kenyataan yang didakwanya angkuh dan tidak bertanggungjawab itu.
Sementara Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai (BN-Bentong) juga menuntut pejelasan daripada Noh berhubung kenyataannya itu.
"Ini akan mencemarkan imej negara dan ia bertentangan dengan pendirian kerajaan yang mengalu-alukan kedatangan pelawat," katanya dalam sidang akhbar bersama dengan Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Itam), Lim Bee Kau (BN-Padang Serai) dan Tan Ah Eng (BN-Gelang Patah).
Liow turut mengkiritk pihak polis kerana "sindrom penafian" berhubung rakaman klip video mengenai seorang wanita China yang melakukan ketuk ketampi dalam keadaan bogel ketika dalam tahanan polis.
"Mereka tidak sepatutnya mengamalkan sindrom penafian tetapi patut mengakui kelemahan dan memperbaikinya," tambahnya.
Teresa Kok (DAP-Seputeh) pula telah mengemukakan usul supaya gaji Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar dipotong RM10 berhubung kejadian tersebut.

