Paling Popular
Terkini

ULASAN | Merujuk kepada pertemuan saya bersama aktivis transgender Nisha Ayub semalam, ingin saya tegaskan bahawa pertemuan itu tidak bermakna saya setuju dengan semua yang diperjuangkan mahupun mengiyakan perbuatan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Nisha telah menghubungi saya sendiri untuk mengadakan pertemuan dan saya menerima kehadirannya dengan ikhlas memandangkan isu berkaitan transgender perlu diselami serta difahami, khususnya yang berkaitan dengan peranan institusi agama bagi menangani fenomena ini.

Nisha turut menegaskan beliau bukan ikon bagi komuniti LGBT sebaliknya hanya seorang aktivis yang memperjuangkan nasib golongan mak nyah yang sering disisihkan serta memberi galakan agar mereka keluar daripada 'industri seks'.

Pada pertemuan semalam juga, tiada langsung isu berkaitan hak sama rata melibatkan perkahwinan sama jantina dibangkitkan.

Pertemuan itu lebih kepada perbincangan bagaimana untuk mengatasi masalah diskriminasi terhadap golongan mak nyah serta mengatasi masalah mereka termasuk penghayatan soal-soal agama dan beribadat secara khusus.

Berhubung isu gambarnya digantung dan diturunkan di pameran fotografi Georgetown, Nisha berkata beliau tidak dimaklumkan bahawa gambarnya digunakan dalam pameran tersebut.

Malah beliau juga memberitahu beliau tidak kisah tentang penurunan gambar berkenaan.

Apa yang paling utama ketika ini ialah, kita perlu hapuskan budaya benci dan diskriminasi kepada komuniti tersebut terutama di tempat kerja mahupun di tempat-tempat awam.

Kita tidak boleh mengamalkan dasar pilih kasih dalam menjalankan kerja-kerja dakwah malah Islam juga tidak menggalakkan umatnya untuk menyakiti manusia yang lain.

Hak mereka sebagai rakyat Malaysia tidak boleh dinafikan.


DATUK DR MUJAHID YUSOF adalah menteri di jabatan perdana menteri (hal ehwal agama).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS