Malaysia Airline System Bhd (Malaysia Airlines) melaporkan kerugian bersih sebanyak RM367.7 juta bagi suku kedua yang berakhir pada 30 September 2005.

Dengan kerugian sebanyak RM280.7 juta yang dilaporkan bagi suku pertama, kerugian bagi enam bulan berkenaan berjumlah RM648.4 juta, kata Pengerusi syarikat itu, Datuk Dr Mohamed Munir Abdul Majid, semasa mengumumkan keputusan syarikat itu di satu majlis taklimat media di Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata, kerugian dalam suku kedua itu pada asasnya berpunca daripada harga minyak yang berterusan tinggi dengan kos bahan api meningkat sebanyak 45 peratus kepada RM1.2 bilion, jauh lebih tinggi daripada RM799 juta bagi suku yang sama pada tahun 2004.

Faktor-faktor penyumbang lain, termasuklah kos kakitangan, pengendalian dan mendarat, pesawat dan penyenggaraan, caj rombak rawat dan pajakan serta caj penguraian aset secara meluas (WAU).

Sementara itu, jumlah pendapatan meningkat sebanyak 9.4 peratus kepada RM3 bilion dalam suku kedua daripada, berbanding suku yang sama tahun lalu, hasil peningkatan penumpang antarabangsa sebanyak 11.7 peratus.

Munir berkata, pendapatan daripada penumpang antarabangsa meningkat sebanyak RM238.7 juta atau 12 peratus kepada RM2.2 bilion manakala pendapatan MASKargo bertambah sebanyak RM11.6 juta atau dua peratus kepada

RM581.2 juta.

Pulih perniagaan

Bagaimanapun, pulangan (tidak termasuk caj bahan api) merosot sebanyak 1.5 peratus kepada 18.8 sen berbanding 19.1 sen dalam suku yang sama sebelumnya.

Dalam bulan September, Malaysia Airlines melancarkan program penambahbaikan operasi dan kewangan yang memberikan tumpuan kepada langkah melipatgandakan usaha untuk menambah hasil, meningkatkan pulangan dan

memperkukuhkan lagi kecekapan kos.

Munir berkata, inisiatif perubahan yang teratur sedang dilaksanakan. Walaupun syarikat itu telahpun menyaksikan beberapa pencapaian dalam perkara-perkara seperti peningkatan hasil, pemerolehan, kecekapan bahan api dan pengautomasian perkhidmatan perniagaan, perlulah diingat bahawa beberapa isu yang berlarutan selama bertahun-tahun akan mengambil masa untuk diselesaikan.

Di majlis taklimat media itu, Munir mengumumkan bahawa pengarah urusan baru, Idris Jala, akan melapor diri untuk memulakan tugas esok dan mengendalikan perancangan pemulihan perniagaan syarikat penerbangan itu.

Idris, yang berkhidmat dengan Shell sejak 1982, kini adalah naib presiden Shell Malaysia Gas and Power, dan pengarah urusan Shell Middle Distillate Synthesis Malaysia Sdn Bhd (MDS).

Dua tahun lalu, Idris telah berjaya menerajui pemulihan Shell MDS. Esok, beliau akan membentangkan perancangan pemulihan perniagaan itu kepada lembaga pengarah dan akan berinteraksi secara cergas dengan semua

peringkat kakitangan.