Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kesemua suspek larikan wang RM3.5 juta bebas dengan jaminan

Kesemua 17 petugas keselamatan di Jabatan Perdana Menteri yang disyaki menyelewengkan wang berjumlah RM3.5 juta untuk dana pilihan raya umum ke-14 telah dibebaskan dengan jaminan.

Lima belas daripada mereka dibebaskan dengan seorang penjamin di hadapan majistret Putrajaya Nadhirah Abdul Rahim pagi ini.

Dua lagi dibebaskan dengan seorang penjamin Jumaat lalu.

Seramai 17 individu berkenaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 7 Ogos di bawah Seksyen 23 Akta SPRM.

Mahkamah Majistret Putrajaya memerintahkan tahanan reman selama lima hari terhadap 17 individu berkenaan yang akan berakhir esok.

Kumpulan itu terdiri daripada pegawai keselamatan senior Gred 52 dan 16 pengawal keselamatan.

Sehingga 10 Ogos lepas, SPRM telah merampas lebih RM1.19 juta tunai daripada kesemua suspek, selain beberapa kereta, motosikal dan barangan lain.

Sumber sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa anggota keselamatan tersebut dipercayai telah memecah masuk pejabat bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak pada malam PRU14 setelah mengetahui kekalahan BN.

Mereka kemudian membawa pulang wang berkenaan yang dikatakan tidak disimpan dalam peti keselamatan.

Najib berkata wang itu adalah milik Umno.

Sumber juga memberitahu Malaysiakini bahawa SPRM berhasrat memanggil Najib berhubung kenyataannya bahawa wang itu adalah milik parti nasionalis Melayu itu.

Lihat Komen
ADS