Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

ULASAN | Hanya beberapa hari selepas kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) memutuskan untuk menutup King Salman Centre for International Peace (KSCIP), sebuah organisasi tajaan Arab Saudi yang berfungsi sebagai pusat antipengganas di Malaysia, gabungan ketenteraan yang diketuai oleh kerajaan Saudi telah melancarkan serangan udara ke atas Yaman menyebabkan puluhan terbunuh dan tercedera termasuklah Kanak-kanak yang berumur bawah 10 tahun.

Amat menyedihkan, mereka ini diserang semasa mereka dalam perjalanan menaiki bas sekolah.

Inilah ironinya, penubuhan KSCIP yg bermatlamat keamanan antarabangsa, namum amat menyedihkan kerajaan Arab Saudi yang mengepalai gabungan ketenteraan termasuk dari Amerika Syarikat telah melakukan siri keganasan ke atas negara Yaman yang kecil dan miskin sejak tiga tahun yang lalu.

Mereka menggunakan kekuatan ketenteraan yang amat tidak sepatutnya dan telah menyebabkan berlakunya satu tragedi keganasan kemanusiaan di dunia hari ini.

Kanak-kanak terbunuh dalam bas sekolah

Penglibatan tentera Amerika Syarikat dan British bersama kerajaan Arab Saudi dalam serangan ke atas Yaman mungkin antara faktor yang membuatkan dunia seakan memejamkan mata, seperti tragedi ini tidak pernah berlaku.

Sejak dua tahun yang lalu lagi, saya telah berulang kali menyuarakan kepedulian dan kebimbangan di parlimen terhadap isu keganasan Arab Saudi ke atas Yaman, hubungan akrab antara kerajaan lama pimpinan BN dengan kerajaan Saudi dan penubuhan pusat anti keganasan tajaan Arab Saudi di Malaysia.

Terbaru, serangan ganas yang membunuh kanak-kanak yang sedang menaiki bas sekolah adalah satu keganasan dan tindakan kerajaan HARAPAN yang menarik balik tentera kita di Arab Saudi dan menutup KSCIP adalah satu keputusan yang amat tepat.

Apatah lagi sebelum ini gabungan tentera pimpinan Arab Saudi ini pernah mengebom dewan orang ramai, hospital dan tempat-tempat awam.

Malaysia dan negara-negara Islam yang lain seharusnya tidak lagi memandang tinggi Arab Saudi seperti sebelum ini.

Arab Saudi hilang penghormatan 

Kerajaan tersebut telah kehilangan penghormatan dan kepimpinan yang pernah mereka miliki sebelum ini. Apatah lagi, mereka juga telah membiarkan rakyat Palestin sama seperti kerajaan Mesir lakukan.

Hari ini kerajaan Arab Saudi semakin akrab dengan Israel yang tidak berhenti menindas dan membunuh rakyat Palestin.

Insiden pengeboman Israel ke atas penduduk Gaza dua hari lepas berlaku pada hari yang sama gabungan ketenteraan pimpinan Saudi menyerang dan membunuh kanak-kanak sekolah di Yaman.

Mungkin Malaysia di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad seharusnya kembali memimpin dalam menyuarakan penindasan yang berlaku ke atas umat Islam di dunia hari ini.

Dahulu, Tun Mahathir dan Malaysia pernah dihormati dan dipandang tinggi sebagai pemimpin dan juara bagi pihak dunia ketiga.

Saya pasti banyak negara Islam amat gembira apabila mengetahui Malaysia kembali dipimpin oleh Tun Mahathir.

Sudah sampai masa Malaysia mempamerkan kembali kepimpinan yang pernah suatu masa dahulu dihormati dan disenangi oleh dunia.

Kepimpinan 'Malaysia Baharu' boleh menjadi suara untuk mereka yang tertindas seperti rakyat Palestin dan Yaman. Semoga suara kita ini menjadi harapan baru kepada warga dunia yang tertindas dan memulakan era baru zaman keemasan Malaysia.

 


RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD ialah Senator Dewan Negara, Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH dan bekas anggota parlimen Kuala Terengganu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS