mk-logo
Berita
'Guan Eng perlu buktikan mahu bantu orang miskin'
Diterbitkan:  Aug 12, 2018 11:11 PM
Dikemaskini: 3:14 PM

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng perlu membuktikan dirinya bukan seorang yang benar-benar mahu membantu golongan miskin dan bukan orang kaya.

"Guan Eng perlu buktikan bahawa dia benar-benar mahu membantu golongan B40 dan bukan hanya mahu menolong golongan kaya, peniaga dan ekonomi gelap untuk mengelakkan cukai atau membantu pengaliran dana haram ke luar negara," kata anggota parlimen Pekan dalam suatu kenyataan malam ini.

Najib menyelar Lim selepas dikritik menteri berkenaan kerana sebelum ini bekas presiden Umno itu membidas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Najib menyebut kenyataan Mahathir bahawa tidak akan ada kenaikan gaji pegawai awam kerana kekangan kewangan dan menyalahkan keputusan Pakatan Harapan untuk menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Walau bagaimanapun, Lim berkata rakyat telah menolak BN dalam PRU14 kerana GST. Lim juga mengulang komitmen pentadbiran baru untuk membantu golongan miskin, termasuk meneruskan bantuan tunai BSH dan subsidi petrol.

Najib terkejut berselang tawa

Najib berkata Bantuan Sara Hidup (BSH) yang dipetik Lim sangat menggelikan hatinya kerana bantuan tunai itu sudah disediakan kerajaan sebelumnya.

Menurut Najib, BSH hanyalah penjenamaan semula BR1M.

"Saya terkejut membaca kenyataan Lim Guan Eng yang cuba memberi bukti kononnya dia juga mempertahankan golongan yang miskin.

"Terkejut saya berselang ketawa sebenarnya.

"Malahan, jika BN menang bayaran ini sepatutnya RM800 dan bukan RM400 sahaja untuk ansuran ini," katanya.

Najib turut menempelak keputusan kerajaan HARAPAN untuk mengekalkan harga petrol RON95 pada harga RM2.20 seliter.

Beliau mendakwa Lim sebelum ini mengadu apabila RON95 berharga RM2.10 seliter walaupun harga minyak dunia lebih tinggi.

Najib meminta Lim untuk membuktikan komitmennya untuk membantu golongan miskin dengan memenuhi janji HARAPAN untuk mengurangkan harga minyak, menghapuskan tol dan menurunkan harga elektrik.

"Dia juga patut menjamin harga barang tidak akan naik bila SST diperkenalkan bulan depan pada ketika harga barang tidak turun selepas GST telah dimansuhkan," kata Najib lagi.

Lihat Komen
ADS