Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Siasat semula skandal forex, Perwaja tak berbangkit
Diterbitkan:  Aug 13, 2018 11:24 AM
Dikemaskini: 4:05 AM

PARLIMEN | Persoalan sama ada kerajaan akan membuka semula siasatan ke atas kerugian Bank Negara hasil aktiviti perdagangan mata wang asing (forex) pada 1990-an dan skandal Perwaja Steel Sdn Bhd (Perwaja Steel) tidak berbangkit, kata VK Liew.

Menurut menteri di Jabatan Perdana Menteri tersebut kerajaan sudah mengambil tindakan ke atas kedua-dua isu berkenaan.

"Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk meneliti kerugian Bank Negara sudah dijalankan dan laporan mengenainya telah dikeluar dan diedarkan kepada Dewan Rakyat pada 30 Nov 2017," katanya dalam jawapan bertulis di parlimen bertarikh 6 Ogos lalu.

Hasil laporan tersebut kata Liew, setiausaha RCI tersebut sudah membuat laporan kepada polis.

"Susulan daripada itu satu kertas siasatan sudah dibuka dan ia masih di peringkat siasatan," katanya.

Terdahulu Liew ditanya Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong).

Shamsul Anuar sebelum itu bertanya kepada perdana menteri mengenai kesediaan kerajaan membuka semula siasatan ke atas kedua-dua isu berkenaan secara telus dan adil.

Kata Liew mengenai skandal Perwaja satu kertas siasatan sudah dibuka bagi menyiasat pengarah urusan syarikat berkenaan, Tan Sri Eric Chia.

"Beliau telah didakwa di mahkamah sesyen atas tuduhan pecah amanah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

"Bagaimanapun beliau dilepaskan dan dibebaskan daripada tuduhan tersebut pada 26 Jun 2007.

"Pihak pendakwa sudah mengemukakan rayuan, namun begitu beliau meninggal dunia pada 24 Jun 2008 sebelum ia dapat didengar," katanya.

Sehubungan itu kata Liew tidak lagi berbangkit isu kerajaan bersedia atau tidak untuk membuka semula siasatan ke atas kedua-dua kes berkenaan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS