Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) sudah menangguhkan 278 projek dan membatalkan sebuah projek dengan kesemuanya melibatkan peruntukan bernilai RM1.772 bilion, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Azmin dalam jawapan bertulis parlimennya, menambah bahawa 4,667 projek lagi yang bernilai RM44.8 bilion yang mendapat peruntukan daripada perbelanjaan pembangunan akan diteruskan.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum itu meminta Azmin menyatakan projek-projek yang telah dibatalkan kerajaan.

Jelas Azmin, projek yang memberi manfaat terus kepada rakyat akan diteruskan manakala projek yang dibatalkan pula adalah projek mega kerana kemudahan sedia ada masih dapat memenuhi keperluan rakyat.

Tambah Azmin, Kementerian Kewangan sudah menggariskan beberapa panduan dalam pengkajian semula projek.

Antara garis panduan itu ialah, bagi projek yang belum menerima Surat Setuju Terima akan ditangguhkan atau dibatalkan.

Sementara, bagi projek yang sudah menerima Surat Setuju Terima bernilai RM10 juta ke bawah boleh diteruskan.

Bagaimanapun, jika projek itu melebihi RM10 juta, ia perlu dikaji semula oleh Contract Coordination Panel (CCP) jika pembinaan masih berada di bawah tahap 15 peratus.

[Baca berita asal]