PAS kini menggunakan strategi baru dengan memberitahu para penggundi bahawa pilihanraya kecil Pengkalan Pasir bukanlah pertembungan antara PAS dengan Umno, tetapi sebaliknya pertembungan 'peribadi' PAS dengan Datuk Seri Annuar Musa.

"PAS lawan Annuar Musa, bukan lawan Umno. Kita tak lawan Umno. Jangan bimbanglah. Kalau Umno kalah pun, kalah Annuar Musa bukan kalah Umno," kata Husam seperti dilaporkan oleh Bernama.

Para pemerhati politik menyifatkan pendekatan baru PAS itu adalah bertujuan untuk mengurangkan tekanan hebat daripada jentera pilihanraya Barisan Nasional (BN), khususnya Umno yang bermatian-matian berusaha untuk merampas kerusi Pengkalan Pasir 6 Disember ini.

Oleh itu, mereka berpendapat, PAS perlu mengalihkan perhatian pengundi supaya menganggap musuh sebenar parti itu dalam pilihanraya kali ini bukannya Umno atau BN tetapi Annuar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, yang disifatkan oleh Husam sebagai "lawan PAS".

Husam, yang juga Anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan berkata pilihanraya kecil Pengkalan Pasir adalah pertarungan antara Annuar dan PAS, bukannya "Umno lawan PAS".

Ini berikutan kelantangan Annuar mencabar kerajaan negeri pimpinan PAS membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi mendapatkan mandat baru rakyat, kerana jika BN menang di Pengkalan Pasir, maka PAS akan hanya mempunyai kelebihan satu kerusi sahaja dalam dewan dan ini akan menjadikan kedudukan kerajaan negeri goyah.

Annuar dilihat oleh PAS begitu bersungguh-sungguh mahu menumbangkan parti itu yang menguasai Kelantan sejak 1990 bagi menubuhkan kerajaan baru seterusnya menjadi menteri besar.

Pertahan kepimpinan ulama

Daripada 45 kerusi negeri, PAS menang 24 dan BN 21. Tetapi ekoran kematian Wan Abdul Aziz Wan Jaafar dari PAS, kedudukan sekarang adalah 23-21, dan jika BN menang di Pengkalan Pasir, ia akan menjadi 23-22.

"Dia (Annuar) nak gunakan Pengkalan Pasir sebagai satu momentum untuk membubarkan dewan, menubuhkan kerajaan lain dan ganti menteri besar," kata Husam.

Katanya, PAS akan terus mempertahankan corak kepimpinan ulama dalam menerajui kerajaan negeri itu menerusi kepimpinan Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar.

Terdapat 18,411 pengundi di kawasan itu yang akan menjadi kayu ukur sama ada kerajaan negeri pimpinan PAS masih diterima rakyat atau rakyat mahukan perubahan melalui isyarat awal dengan memberikan kemenangan kepada

BN selaku peneraju kerajaan pusat.

Pilihanraya kecil itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon PAS Hanifa Ahmad, wakil BN Hanafi Mamat dan calon bebas Datuk Ibrahim Ali. Kerusi itu kosong berikutan kematian Wan Abdul Aziz, 55, akibat kanser hati pada 31 Oktober lalu.

Dalam pilihanraya umum lalu, Wan Abdul Aziz menewaskan Hanafi dengan kelebihan 56 undi sahaja. Kali ini, BN dan PAS sama-sama mengakui bahawa kehadiran Ibrahim akan memberikan impak tersendiri kepada keputusan di situ.

Jika dihitung menggunakan sifir mudah, Pas akan mengaut untung daripada penyertaan Ibrahim kerana beliau pernah berjasa kepada penduduk Pengkalan Pasir ketika menjadi Ketua Umno Pasir Mas sebelum dipecat daripada parti itu kerana bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihanraya umum lalu.

Isu tempatan

Dalam kempennya, PAS menggunakan strategi yang ditujukan kepada semua peringkat pengundi bagi memupuk perpaduan dan mengekalkan keharmonian dengan menerangkan fakta termasuk apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk mengajak rakyat Kelantan menyokong parti itu.

Sepanjang empat hari kempen pilihanraya itu berlangsung, BN telah menggunakan isu kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan masalah-masalah tempatan seperti menyediakan sistem perparitan yang teratur, pasar basah

baru, masalah kesesakan lalulintas di bandar Pasir Mas dan pembinaan jejambat merentasi landasan kereta api di kawasan itu.

PAS yang dibantu sekutunya Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula, banyak menggunakan isu-isu nasional bagi memaparkan kelemahan pentadbiran kerajaan pusat seperti kerugian Bank Islam, Tabung Haji dan

penyelewengan Projek Perumahan Rakyat Termiskin, termasuklah insiden wanita China yang dipaksa bogel di lokap seperti yang disuarakan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ceramahnya di Stadium Mini Pasir Mas Ahad lalu.

PAS juga masih mengekalkan isu agama sebagai senjata utamanya. Ketika ditanya mengapa PAS ghairah memainkan isu-isu nasional berbanding isu-isu tempatan yang belum diselesaikan,

Husam berkata: "Kita tak boleh perkecilkan pengundi Pengkalan Pasir macam dia bodoh atau seperti katak bawah tempurung. Mereka juga sebahagian masyarakat Malaysia yang perlu ikut perkembangan."

Menurutnya, kerajaan negeri akan membina jejambat merentasi landasan kereta api membabitkan kos RM15 juta selain memajukan cadangan pembinaan sistem saliran di bandar Pasir Mas yang menelan belanja sekitar RM60 juta

kepada Jabatan Pengairan dan Saliran bagi mengatasi masalah air bertakung dan banjir.

Mengenai masalah pasar yang sudah usang dan sempit yang terletak berdekatan dengan landasan kereta api Pasir Mas, Husam berkata, kerajaan negeri telah meluluskan cadangan untuk memindahkan pasar itu ke lokasi baru

di kawasan seluas 40 hektar di Lubok Jong.

Penganalisis politik berpendapat isu-isu tempatan akan memainkan peranan penting khusus untuk menarik perhatian pengundi Melayu yang berjumlah 17,469 orang.