PM: Bila-bila masa Ktan boleh dapat universiti
Kerajaan pusat tidak keberatan membina sebuah universiti di Kelantan sebagai tanda prihatin kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat negeri itu yang terkenal dengan pelbagai keistimewaan, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Kerajaan pusat tidak keberatan membina sebuah universiti di Kelantan sebagai tanda prihatin kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat negeri itu yang terkenal dengan pelbagai keistimewaan, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Bila-bila masa kita boleh beri sebuah universiti kepada Kelantan, tanda sayang kepada rakyat negeri ini setelah melahirkan banyak cerdik pandai," kata Perdana Menteri ketika berucap di majlis mesra Aidilfitri bersama
kira-kira 2,000 pegawai kerajaan di Pasir Mas hari ini.
Katanya, Kelantan perlu mendapat sebuah universiti supaya tidak timbul persoalan diskriminasi selepas jirannya Terengganu diberi sebuah universiti.
Abdullah berkata, kewujudan universiti ini bersesuaian memandangkan Kelantan banyak melahirkan ahli perniagaan dan cendekiawan terkenal sebelum ini.
"Sebelum ini, peluang masuk ke universiti terbuka luas kepada rakyat Pantai Timur untuk mereka merebut peluang itu sehingga mampu mencapai kejayaan," katanya.
Beliau berkata, peluang seumpama itu selaras dengan konsep Islam Hadhari yang memberi penekanan kepada pembangunan seimbang seperti pembangunan modal insan yang telah membawa Malaysia ke mercu kegemilangan.
Menurut Bernama, Abdullah, yang mahu melihat perubahan di Kelantan, khususnya di Pasir Mas, mengalu-alukan sebarang idea daripada pemimpin Umno dalam usaha memajukan negeri itu pada masa depan.
'Pilih BN'
Katanya, beliau yakin Pasir Mas berpotensi untuk dimajukan sekiranya rakyat di kawasan itu mempunyai ilmu pengetahun dan tahu menggunakan nikmat yang ada pada mereka.
"Sudah lama Pengkalan Pasir tidak diwakili calon BN dan kali ini berilah peluang itu kepada BN," katanya merujuk kepada pilihanraya kecil bagi kerusi negeri itu 6 Disember ini.
Pilihanraya kecil itu melibatkan calon BN Hanafi Mamat, calon PAS Hanifa Ahmad dan calon Bebas Datuk Ibrahim Ali. Kerusi itu sebelum ini diwakili Wan Abdul Aziz Wan Jaafar dari PAS.
Abdullah menyambut baik hasrat Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa untuk merubah Pasir Mas menjadi sebuah bandar yang pesat membangun.
Annuar, yang turut berucap di majlis itu, telah mencadangkan supaya Pasir Mas dijadikan stesen utama kereta api ke Thailand selain mewujudkan sebuah pusat kontena di daerah itu.
Abdullah tidak menafikan masih banyak perkara yang perlu dilakukan dalam usaha menjadikan rakyat dan negara ini maju dalam pelbagai bidang.
"Ini termasuk soal penghapusan rasuah, basmi kemiskinan dan meningkatkan sektor pertanian," katanya.
Perdana Menteri mahu semangat muafakat dan kerjasama diperkukuhkan agar rakyat akan bersama-sama dengan beliau membawa kemakmuran.

