Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Pengundi Melayu pilih Anwar berbanding Zahid sebagai bakal PM’
Diterbitkan:  Aug 14, 2018 11:30 AM
Dikemaskini: 3:44 AM

Satu kajian di kalangan 1,622 responden Melayu mendapati ada di antara pengundi BN dan PAS di kalangan mereka yang menyokong bakal Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon terbaik untuk mengambil alih daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut kaji selidik oleh Pusat Pemikiran Ilham yang ditugaskan oleh portal dalam talian The Malaysian Insight, 42 peratus daripada responden memilih Anwar, berbanding 24 peratus yang memilih Zahid.

Majoriti responden berkenaan berkata mereka telah mengundi BN pada pilihan raya umum ke-14 (46 peratus), sementara 35 peratus mengundi PAS, dan 17 peratus yang mengundi Pakatan Harapan (HARAPAN).

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan adalah pilihan ketiga bagi jawatan perdana menteri di kalangan 8 peratus responden dengan diikuti oleh Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin (7 peratus) dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali (4 peratus).

Meskipun parti-parti HARAPAN telah bersepakat bahawa Anwar bakal dilantik sebagai perdana menteri ke-8 untuk menggantikan Mahathir, beberapa pihak dalam PKR baru-baru ini menimbulkan kebimbangan berhubung ada cubaan untuk mensabotaj rancangan itu.

Sementara itu, kajian berkenaan juga mendapati bahawa majoriti responden terpengaruh dengan sentimen perkauman yang dimainkan oleh pengkritik HARAPAN.

Empat isu utama adalah pelantikan Tommy Thomas dan Tan Sri Richard Malanjum masing-masing sebagai Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara; pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan persepsi DAP menguasai kerajaan.

Menurut kajian itu, 61 peratus dan 68 peratus responden tidak bersetuju dengan pelantikan Malanjum dan Thomas.

Lebih 1,000 responden, atau 69 peratus, berkata mereka tidak bersetuju dengan pengiktirafan UEC, manakala 55 peratus percaya bahawa DAP memang berpengaruh besar dalam kerajaan.

Dua isu lain adalah sama ada PAS lebih baik berbanding HARAPAN dalam menjaga kebajikan orang Melayu-Islam dan sama ada HARAPAN mampu menjaga hak dan kedudukan orang Melayu dan Islam.

Secara keseluruhan, lebih daripada separuh responden untuk kajian yang dijalankan dari 1 Jun hingga 30 Julai adalah di negeri-negeri utara, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Majoriti mereka inggal di bandar (66 peratus) dan selebihnya di pinggir bandar (19 peratus) dan selebihnya di luar bandar (15 peratus).

Lelaki membentuk 51 peratus responden.

Dari segi demografi, kajian itu dihadkan kepada responden yang berusia di atas 21 tahun - majoriti mereka dalam lingkungan umur antara 40 dan 49 tahun.

Mereka yang berumur bawah 40 tahun terdiri daripada 35 peratus responden, manakala baki 35 peratus pula berumur antara 50 dan lebih 60.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS