Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Parti politik tiada kelulusan bina bangunan atas tanah k’jaan
Diterbitkan:  Aug 14, 2018 12:08 PM
Dikemaskini: 4:10 AM

DUN JOHOR l Kerajaan negeri tidak akan memberi kelulusan kepada parti politik sama ada parti kerajaan atau pembangkang untuk membina, menduduki atau menggunakan bangunan kerajaan di atas tanah kerajaan.

Menteri Besar Datuk Osman Sapian berkata ia adalah sebagaimana diperuntukkan dalam Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 yang mengatakan balai raya, dewan raya, kawasan lapang, tanah perkuburan dan lain-lain kawasan untuk kegunaan awam adalah diwartakan mengikut Seksyen 62 KTN.

“Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor dan Pejabat Tanah Daerah telah menegaskan supaya premis kerajaan tidak disalahguna bagi tujuan politik seperti yang telah lama dipraktikkan sebelum ini.

“Bagaimanapun tidak dinafikan terdapat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggunakan manfaat kebenaran kerajaan ini bagi tujuan politik. Kalau ada premis yang masih digunakan untuk tujuan politik, kelulusan asal yang diberikan kepada NGO itu wajar ditarik balik,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini.

Beliau menjawab soalan Chen Kah Eng (DAP-Stulang) yang ingin tahu status bangunan pejabat politik yang dibangunkan di atas tanah kerajaan negeri.

Osman berkata kerajaan negeri melalui Pentadbiran Tanah Johor akan membuat semakan terperinci sekiranya terdapat mana-mana aduan berhubung pembinaan bangunan kekal atau sementara di atas mana-mana tanah kerajaan negeri bagi tujuan dijadikan pejabat mana-mana parti politik.

Beliau berkata sekiranya bangunan tersebut dibina di atas tanah kerajaan negeri atau tanah rizab tanpa sebarang kelulusan daripada pihak berkuasa negeri, maka ia adalah suatu pencerobohan tanah kerajaan dan kesalahan mengikut peruntukan Seksyen 425 KTN.

“Dari segi penggunaan bangunan awam kerajaan bagi aktiviti berunsurkan politik, ia adalah terbuka untuk kegunaan semua pihak dan ini termasuk kepada Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri.

"Ia sejajar dengan hasrat kerajaan supaya setiap kemudahan yang disediakan dapat digunakan secara optima untuk faedah rakyat. Sehubungan itu, anggota yang berhormat sekalian boleh memohon kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berkenaan untuk menggunakan kemudahan tersebut," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Ir Hasni Mohammad (BN-Benut) sama ada kerajaan negeri tidak akan melayan parti politik untuk memiliki tanah sendiri, Osman berkata, kerajaan negeri tidak menggalakkan mana-mana parti politik untuk memohon tanah milik kerajaan negeri.

Katanya, bagaimanapun kerajaan negeri tidak dapat menghalang parti politik untuk memiliki tanah, namun ia mestilah mengikut peraturan yang ditetapkan dan permohonan dikemukakan kepada Pejabat Tanah Daerah (PTD).

- Bernama

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS