Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri: Dr Nur Ilyani hanya nyatakan pandangan peribadi

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan bahawa tiada sebarang tindakan tatatertib diambil terhadap Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi susulan isu surat terbukanya yang mengkritik aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir, baru-baru ini.

Dr Dzulkefly berkata, tulisan pegawai perubatan itu merupakan pandangan peribadi dan pihaknya mengambil perhatian.

"Perkara itu di bawah perhatian saya dan Kementerian Kesihatan Malasyia (KKM) sebelum membuat sebarang keputusan.

"Dr Nur Ilyani masih bertugas seperti biasa, itu pandangan peribadi beliau.

"Saya telah menjelaskan apa yang saya sebutkan ini adalah dasar KKM dan beliau menyatakan pandangan peribadi," katanya kepada media selepas menghadiri majlis perasmian Seminar Perubatan Integratif di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia di Kota Bharu, hari ini.

Sebelum ini, doktor yang bertugas di Hospital raja Perempuan Zainb II (HRPZ II), Kota Bharu itu dikatakan bakal berdepan tindakan tatatertib selepas diadukan pihak tertentu kepada Biro Pengaduan Awam (BPA).

Ia susulan 'surat terbuka' yang ditulisnya di Facebook pada 6 Ogos lalu mengenai pandangan terhadap isu lesbian,gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Memetik tulisannya, Dr Nur Ilyani berpandangan beliau sebagai seorang doktor dan tidak mengiktiraf perlakuan seks bebas apatah lagi songsang.

"Adakah anda bersetuju kini golongan yang mendominasi carta penghidap HIV adalah di kalangan komuniti LGBT?

"Sehingga kini walaupun pesakit yang hadir mendapatkan rawatan dari saya tergolong dari kalangan LGBT, saya tetap melayan mereka sebagai pesakit dan memberikan rawatan terbaik buat mereka.

"Apatah lagi jika mereka berada di hujung usia. Maka, hak apakah yang anda sedang perjuangkan?" tulisnya.

Tulisan beliau itu menerima pelbagai kritikan dan sokongan termasuk menggesa supaya tidak dikenakan sebarang tindakan tatatertib.

Malah, satu petisyen turut diwujudkan bagi menyatakan kebersamaan terhadap doktor berkenaan.

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, setakat ini belum ada sebarang keputusan dibuat bersabit isu tersebut.

"Ketua pengarah kesihatan telah buat kenyataan dan perkara ini di bawah perhatian saya.

"Setakat ini kita belum boleh buat apa-apa keputusan sebab belum ada perbincangan.

"Sudah diberitahu kita akan tetap dengan prinsip dan amalan dalam KKM dan kita akan berikan rawatan kepada semua tanpa ada diskriminasi.

"KKM akan mengambil pertimbangan tertentu," katanya.

Lihat Komen
ADS