Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada apa yang dapat sekat Anwar jadi PM, kata MP PKR
Diterbitkan:  Aug 14, 2018 1:35 PM
Dikemaskini: 5:41 AM

Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar tidak melihat bagaimana persetujuan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri boleh dilanggar.

Beliau berkata ini kerana anggota parlimen PKR membentuk majoriti dalam gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Justeru beliau hairan berhubung tuduhan Mahathir bersama-sama penasihatnya Tun Daim Zainuddin berpakat dengan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk menghalang Anwar menjadi perdana menteri.

"Walaupun PKR meraikan perbezaan pandangan dan menegakkan kebebasan bersuara di kalangan ahlinya, kita mesti menahan diri daripada mengkritik rakan parti dalam HARAPAN, terutama pemimpinnya.

"Saya percaya tidak kira mana-mana kem dalam PKR, politik sihat perlu diamalkan oleh semua ahli. Bukannya membuat tuduhan hanya untuk politik dan 'mendapat markah' dengan menggadaikan ahli dan pemimpin parti komponen," katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.

Anggota parlimen PKR Abdullah Sani Abdul Hamid, yang membuat tuduhan itu, dalam pasukan Naib Presiden Rafizi Ramli. Pada pemilihan PKR kali ini, Rafizi mencabar Azmin bagi jawatan timbalan presiden.

Abdullah sebelum ini dilaporkan berkata mengundi Azmin bermaksud menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri.

Jayakumar memberi amaran bahawa serangan terhadap rakan PKR hanya memberi senjata kepada pembangkang untuk mendakwa HARAPAN kini dalam perpecahan.

Beliau berkata ia juga akan membuka pintu untuk parti HARAPAN lain mengkritik PKR secara terbuka.

"Kita perlu sentiasa ingat, ketidakstabilan seperti itu tidak baik untuk kerajaan yang kita tadbir dan rakyat juga meletakkan kepercayaan kepada kita.

"Sebarang kerisauan atau dakwaan berhubung peralihan (kuasa) perlu ditangani dalam PKR dan Majlis Presiden HARAPAN.

"Dengna pemilihan yang kian hampir, harapnya para calon dapat berkempen tanpa menjejaskan parti komponen lain," katanya yang juga menteri air, tanah dan sumber asli.

Sudah pun dibincang

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifudin Nasution Ismail menegaskan peralihan kuasa antara Mahathir dan Anwar akan diteruskan seperti yang telah dipersetujui sebelum PRU ke-14.

Pendirian saya dalam isu ini sama seperti Mahathir.

"Proses peralihan adalah perkara dalam lingkungan HARAPAN dan ia telah dibincangkan...Itu saja (yang saya akan katakan)," katanya dalam sidang media di Subang Jaya, Selangor.

Semalam, Mahathir mendesak pihak yang menuduhnya itu agar mengemukakan bukki sambil menegaskan beliau tidak masuk campur dalam pemilihan parti lain.

Dakwaan Abdullah itu juga mengundang kecaman anggota majlis pimpinan tertinggi BERSATU Wan Saiful Wan Jan.

Azmin juga menafikan dakwaan Mahathir melantikannya sebagai menteri untuk memantau Anwar.

Lihat Komen
ADS