Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kaji selidik: Selepas PRU14, rasuah masih kerisauan utama rakyat

Beberapa bulan selepas PRU ke-14, isu rasuah masih lagi kerisauan utama di kalangan rakyat Malaysia.

Kaji selidik yang dijalankan Julai lalu oleh firma kajian pasaran global Ipsos mendapati 60 peratus daripada 500 responden memilih rasuah politik dan kewangan sebagai satu daripada tiga kerisauan utama mereka.

Rasuah masih menjadi kerisauan utama walaupun kadarnya menurun enam peratus daripada kaji selidik sama yang dibuat April lalu, kata Pengarah Urusan Ipsos Malaysia Arun Menon.

Beliau berkata, ia mungkin disebabkan pelbagai pendedahan dan penyiasatan kes rasuah sejak perubahan kerajaan.

Sementara pendedahan tersebut membuka mata ramai, Menon berkata rakyat mahu tahu bagaimana kerajaan Pakatan Harapan akan menangani isu itu.

"Walaupun kita lihat banyak pendedahan (kes rasuah) dibuat, ia tidak mengurangkan kerisauan," katanya.

Isu saban hari

Perbandingan dengan keputusan kaji selidik April juga menunjukkan kebimbangan terhadap pengangguran dan pekerjaan, serta jenayah dan keganasan, kian meningkat.

Kebimbangan bagi pengangguran dan pekerjaan meningkat kepada 43 peratus (Julai) berbanding 33 peratus (April), manakala bagi jenayah dan keganasan meningkat kepada 41 peratus daripada 33 peratus.

Arun berkata ia mungkin disebabkan perubahan fokus memandangkan demam pilihan raya semakin kebah.

"Selepas keterujaan pilihan raya, orang ramai kembali kepada isu seharian iaitu pekerjaan serta jenayah dan keganasan," katanya.

Gembira dengan cuti cukai

Kaji selidik itu menyenaraikan enam subjek yang paling dititikberatkan rakyat Malaysia. Tiga lagi adalah kemerosotan moral, cukai dan inflasi.

Kemerosotan moral meningkat daripada 27 ke 31 peratus dan menurut Menon, ia secara relatif berkait dengan isu rasuah.

Bagaimanapun kebimbangan terhadap cukai dan inflasi menurun dengan banyak.

Kebimbangan terhadap cukai menurun separuh daripada 28 peratus, dan inflasi berkurang daripada 24 kepada 16 peratus.

Beliau berkata ia mungkin reaksi daripada kadar GST sifar bermula 1 Jun lalu oleh kerajaan.

"Secara automatik, apabila enam peratus (GST) dikurangkan, wang yang anda keluarkan untuk pembelian seharian berkurang.

"Dengan SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan), kita akan tengok bagaimana statistiknya."

Beliau berkata Ipsos Malaysia menjalankan kaji selidik melibatkan 500 responden setiap bulan, kebanyakannya secara atas talain.

Para responden, katanya, bukanlah orang yang sama dan melibatkan pelbagai peringkat umur, pendapatan dan kaum di seluruh negara.

Lihat Komen
ADS