Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Jabatan Bomba dan Penyelamat menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kematian CEO Cradle Fund Sdn Bhd Nazrin Hassan.

Seorang sumber yang merupakan pegawai kanan Bomba berkata hasil laporan telah diserahkan kepada polis yang kini menyiasat kes berkenaan.

Kenyataan sumber itu sebagai memberi respons dakwaan isteri mangsa, Samirah Muzaffar yang mendakwa dia dan keluarganya tidak dimaklumkan hasil perkembangan siasatan.

Samirah juga mendakwa permohonannya untuk mendapat salinan laporan yang dibuat Bomba ditolak.

Sumber yang bercakap kepada Malaysiakini itu menyatakan bahawa dia berasa hairan dengan dakwaan Samirah.

"(Sebelum ini) kami telah menulis surat kepada orang yang buat hebohan ini. Kita dah tulis secara rasmi menjawab soalan yang dikemukakannya. Saya fikir itu sudah cukup memadai untuk kita maklumkan kepadanya tindakan kita ketika ini.

"Dia tidak seharusnya mensensasikan isu ini," katanya kepada Malaysiakini.

Sumber itu berkata Bomba telah menjalankan siasatan teliti yang turut melibatkan pakar dari jabatan itu menggunakan kaedah saintifik dan unit anjing K9.

Bagaimanapun, katanya, Bomba tidak dapat memberikan butiran lanjut kerana tidak mahu mengganggu siasatan polis.

"Kita tunggu saja polis siasat perkara ini," katanya.

Pada 14 Jun lepas, Nazrin ditemukan maut setelah terperangkap dalam satu kebakaran di tingkat atas rumahnya di Mutiara Damansara dengan kesan kebakaran sebanyak 30 peratus di badannya.

Mesej dari adik ipar mangsa yang tersebar di media sosial mendakwa sebuah telefon yang dicas Nazrin meletup menyebabkan kecederaan di bahagian belakang kepala dan menjadi punca kematiannya.

Bagaimanapun, awal bulan ini polis mengesahkan kes kematian Nazrin diklasifikasikan sebagai kes bunuh berikutan laporan pihak bomba serta laporan bedah siasat yang diperoleh.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS