Najib: Tugaskan Tony Pua hapuskan semua tol
Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menggesa kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) menugaskan Tony Pua dalam usaha menghapuskan semua tol lebuh raya di negara.
Kata Najib, perkara ini selaras dengan janji dalam manifesto pilihan raya HARAPAN dan sepertimana kenyataan dibuat pemimpin DAP itu sendiri.
"Saya percaya bahawa Tony Pua dan DAP bukan penipu dan pengiraan mereka yang jauh lebih murah adalah tepat.
"Ia bukan hanya dibuat untuk menipu undi rakyat dan tidak mungkin DAP selalu salah titik perpuluhan," sindir Najib dalam kenyataan di Facebook.
Najib berkata, selepas dilantik sebagai menteri kewangan pada 2008, beliau telah menukar status Akta Rahsia Rasmi (OSA) bagi membolehkan perjanjian konsesi tol disemak orang ramai.
Tidak lama kemudian, katanya, kerajaan beliau mengumumkan bahawa kos sebanyak RM231 bilion diperlukan untuk menghapuskan kesemua konsesi tol.
"Tetapi, pada masa itu pemimpin DAP - Tony Pua menuduh kita sebagai penipu.
"Menurutnya, berdasarkan perkiraan dibuatnya, ia hanya melibatkan kos RM25 bilion sahaja dan bukan RM231 bilion sebagaimana yang kita dedahkan," kata Najib.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Kerja Raya, Baru Bian yang mengatakan adalah sukar untuk menghapuskan semua tol seperti dijanjikan HARAPAN kerana kos untuk berbuat demikian mencecah RM400 bilion.
Najib berkata, angka diberikan Baru itu jauh lebih tinggi daripada kos yang telah diumumkan kerajaan BN dahulu.
"Oleh itu, saya mencadang kerajaan Pakatan seharusnya menugaskan Tony Pua dalam usaha menghapuskan semua tol jalanraya bagi menepati antara janji utama manifesto PRU14 mereka," katanya.
Menurut Najib, beliau akan 'turut gembira' jika semua tol dihapuskan sebagaimana janji manifesto HARAPAN.
"Apatah lagi, syarikat konsesi-konsesi tol berkenaan bukan kroni mahupun rakan-rakan saya tetapi mereka adalah dari era seorang perdana menteri sebelum saya," katanya.

