Taib pertahan dasar pembalakan di Sarawak
Terjemahan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mempertahankan dasar pembalakannya yang menurutnya menjadi sasaran kempen pejuang alam sekitar Barat dan badan bukan kerajaan (NGO) yang memburuk-burukkan kegiatan pembalakan di negeri itu.
Terjemahan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mempertahankan dasar pembalakannya yang menurutnya menjadi sasaran kempen pejuang alam sekitar Barat dan badan bukan kerajaan (NGO) yang memburuk-burukkan kegiatan pembalakan di negeri itu.
Katanya, walaupun kerajaan telah "menjawab tuduhan mereka dengan angka-angka dan fakta-fakta saintifik" tetapi kumpulan tersebut masih terus membangkitkan isu-isu tersebut dari masa ke sama.
Bagaimanapun, tambahnya, kerajaan tidak "bimbang dengan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas".
Taib menegaskan demikian ketika merasmikan sidang puncak Media Antarabangsa dan Alam Sekitar yang berlangsung selama tiga hari di Kuching, yang dihadiri kira-kira 300 peserta dan wartawan dari 40 negara, semalam.
Katanya, Sarawak mengamalkan pengurusan pengekalan dan pemulihan hutan, berdasarkan perancangan dan dasar-dasar yang dibuat oleh agensi-agensi antarabangsa seperti Pertubuhan Pemakanan Sedunia (FAO), Pertubuhan Pembalakan Tropika Antarabangsa (ITTO) dan Agensi Kerjasama Teknikal Malaysia-Jerman (GTZ).
Menurut Taib, kawasan pemuliharan hutan di Sarawak berjumlah kira-kira 460,000 hektar, yang terdiri daripada 270,000 hektar taman negara, kira-kira 190,000 hektar kawasan perlindungan hidupan liar dan kira-kira 1,000 hektar hutan simpan.
"Kawasan ini tidak akan diusik untuk generasi-generasi akan datang kerana kita telah mewujudkan rangka kerja perundangan yang diperlukan untuk mencegah sebarang perubahan kepada status kekal hutan tersebut," katanya.
Berjuta-juta hektar
Taib bagaimanapun tidak menyatakan jumlah kawasan yang sudah dibalak, tetapi malaysiakini difahamkan, berjuta-juta hektar telahpun diberi lesen-lesen konsesi pembalakan setiap satu seluas tidak kurang 500,000 hektar bagi tempoh 25 tahun penerbangan terpilih, pada kadar tujuh batang pokok matang bagi setiap hektar.
Katanya, jumlah pengeluaran pembalakan setiap tahun dari kawasan hutan tetap, tidak melebihi 9.2 juta kubik meter, tetapi difahamkan pembalakan haram masih berlaku, walaupun pihak berkuasa telah mencapai beberapa kejayaan membanterasnya.
Akibatnya, pengeluaran sebenar pembalakan mungkin lebih tinggi, dan dipercayai membabitkan lebih 10 juta hektar, tetapi keluasan itu masih berada di bawah keluasan pengeluaran pembalakan tahunan sebanyak 18 juta hektar pada satu ketika dahulu.
Pembalakan merupakan sumber pendapatan utama Sarawak, iaitu kira-kira 30 peratus atau kira-kira RM700 juta daripada keseluruhan pendapatan kerajaan negeri. Sarawak merupakan pengeluar kayu balak terbesar di dunia.
Konsesi besar pembalakan kebanyakannya diberikan kepada syarikat-syarikat pembalakan di negeri itu seperti Samling, Ta Ann, KTS, Rimbunan Hijau, Shinyang dan WTK.
Kegiatan pembalakan yang meluas itu telah mencetuskan banyak konflik, setengahnya mengakibatkan kematian, antara pihak syarikat balak dengan penduduk asal di kawasan terbabit.
Taib berkata, Sarawak telah menjadi sasaran pelbagai pertubuhan alam sekitar, sehingga mengakibatkan berlakunya beberapa kejadian yang tidak diingini, termasuk pembinaan bentang sekatan untuk menyekat balak dibawa keluar.
"Kesungguhan kita untuk menyelesaikan isu tersebut secara membina telah terbukti dengan hakikat bahawa semua syarikat pembalakan yang berdepan dengan masalah tersebut, telah melayan penduduk asal dengan baik, malah menyediakan makanan kepada mereka membina bentang sekatan berbulan-bulan lamanya.
"Kami bingung mengapa kami dijadikan sasaran," katanya, sambil menambah: "Kesimpulan lojik yang dapat kami buat ialah Sarawak merupakan satu-satu tempat di dunia yang masih tidak rosak dan mewah dengan hutan dara tropika yang mengandungi pelbagai jenis sembuer bio-diversiti". Berita asal

