Polis didakwa bersikap "pilih kasih" berhubung larangan ceramah apabila membenarkan satu majlis seumpama itu yang disertai Menteri Besar Selangor diadakan di Ampang Jaya semalam.

Dalam laporan polis semalam, Yang Dipertua PAS kawasan itu, Sarom Jais menggesa polis bertindak adil tetapi program itu tetap diteruskan dengan kehadiran Dr Mohammad Khir Toyo pada jam 5 petang.

Menurut Sarom, acara itu yang diadakan di Kg Seri Damai dan turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya Ismail Kijo diadakan tanpa sebarang gangguan polis.

"Kami berasa kesal kerana terdapat sikap pilih kasih dalam penguatkuasaan larangan ke atas ceramah tersebut," katanya, dalam kenyataan kepada malaysiakini hari ini.

"Padahal ceramah umum Menteri Besar itu juga satu perhimpunan haram," tambahnya.

Sarom berkata ceramah PAS yang dijadualkan pada 8 Ogos di Taman Ampang Indah dihalang polis atas alasan perhimpunan itu melanggar larangan.

Beliau berharap pihak berwajib itu akan bertindak adil pada masa depan dengan melarang semua ceramah, termasuk yang dianjurkan oleh Umno seperti larangan terhadap parti-parti pembangkang.

Polis mengumumkan, sejak bulan lepas, semua parti politik dilarang daripada mengadakan ceramah di kawasan terbuka.

Berikutan itu, lebih 40 penyokong pembangkang, khususnya PAS, ditahan polis dan sebilangannya didakwa di mahkamah kerana terlibat dalam perhimpunan tanpa permit.