Berita Malaysiakini

Khairy harap Umno Sabah tak tinggalkan Umno

Zulaikha Zulkifli  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar berharap Umno Sabah tetap kekal bersama parti itu serta BN seperti sebelum ini meskipun sudah menyertai blok baru, Parti Gabungan Bersatu Sabah (PGBS).

Khairy yang juga bekas ketua pemuda Umno berkata tindakan pemimpin Umno Sabah menyertai PGBS sepatutnya tidak membawa mereka meninggalkan Umno.

"Kita harap Umno Sabah akan terus bersama Umno dan BN.

"Kalau ada pun parti-parti gabungan Sabah ini ia (sepatutnya) tidak menyebabkan Umno Sabah keluar Umno," katanya.

Menurut Khairy penyertaan Umno Sabah ke dalam PGBS mungkin dibuat sebagai wadah mereka memperjuangkan isu-isu berkaitan negeri terbabit.

Bagaimanapun katanya ia masih boleh dilakukan tanpa mereka meninggalkan Umno.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan Umno Sabah bakal menyertai PGBS yang akan ditubuhkan tidak lama lagi.

Ia akan ditubuhkan beberapa parti tempatan yang sebelum ini mengambil keputusan untuk keluar BN.