Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mempertahankan tindakannya menyiasat sebarang pencabulan hak asasi termasuk perhimpunan di Lebuhraya Kesas tahun lalu, menurut satu laporan badan itu yang dikeluarkan hari ini.
Laporan itu setebal 66 halaman berdasarkan siasatan awam yang diadakan selama empat bulan mulai November berhubung dakwaan keganasan polis ketika menyuraikan 10,000 penyokong pembangkang, termasuk empat pemimpin tertinggi Barisan Alternatif, pada awal bulan itu.
Laporan itu menyebut, Suhakam mempunyai hak serta tanggungjawab berdasarkan peraturan undang-undang (locus standi) untuk melaksanakan siasatan lanjut kejadian tersebut, mengulas satu surat Jabatan Peguam Negara (JPN) yang mendakwa tindakan suruhanjaya itu bersifat sub judice (mengganggu perbicaraan mahkamah berhubung kes itu).
"Oleh itu, jabatan ini tidak akan menghantar wakil pemerhati untuk menyertai siasatan itu," kata Timbalan Pendakwaraya Kanan JPN Abdul Gani Patail dalam suratnya kepada Suhakam pada 29 November.
Suruhanjaya itu menjelaskan, walaupun badan itu tidak berhak menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau sebaliknya, tetapi ia berhak menyiasat pencabulan hak asasi dalam kejadian berkenaan.
"Suhakam akan membatalkan siasatan di peringkat awal lagi atau ketika sedang mejalankannya jika kes yang sama sedang dibicarakan di mahkamah ketika itu.
Amaran Suhakam
"Jika seseorang didakwa di mahkamah kerana mengambil bahagian dalam perhimpunan haram atau menghalang anggota polis daripada melaksanakan tugas, maka Suhakam tidak berhak menjalankan siasatan sama ada mereka disabitkan kesalahan itu atau tidak," laporan itu dipetik.
Suhakam selanjutnya merujuk akta penubuhan suruhanjaya itu, diluluskan di Dewan Rakyat pada 1999, yang memberikan kuasa kepadanya untuk menjalankan siasatan sedemikian.
Suhakam juga memberikan amaran bahawa ia mempunyai kuasa memanggil sesiapa saja untuk memberi keterangan dan juga berhak menghukum mereka yang enggan memberikan kerjasama.
Tiga orang ahli jawatankuasa siasatan itu, dipengerusikan oleh bekas peguam kanan Tan Sri Anuar Zainal Abidin, Prof Mehrun Siraj dan Simon Sipaun.
Seramai 46 saksi memberikan keterangan, termasuk 16 anggota polis, Presiden Keadilan Dr Wan Azizah Wan Ismail, dua ahli anggota Dewan Rakyat dan seorang pelajar perempuan, berumur 17 tahun.
Laporan Suhakam tersebut dengan tegas mengkritik polis kerana gagal mengawal perhimpunan itu dengan profesional.
