Suami isteri warga emas ditemui meninggal dunia
Sepasang suami isteri warga emas ditemui meninggal dunia di rumah mereka di Jalan Kenari, Felda Tenggaroh 3, Jemaluang, dekat Mersing, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Mersing Supt Cyril Edward Nuing berkata mayat A Wahab Yusof, 72, dan Nilam Ibrahim, 70, dijumpai kira-kira 11.50 malam tadi oleh anggota Balai Polis Sungai Ambat, Mersing, yang memecah masuk rumah tersebut.
"Terdahulu, polis menerima panggilan telefon daripada orang awam, kira-kira 11.05 malam tadi memaklumkan terdapat bau busuk yang kuat dari dalam rumah pasangan terbabit.
"Polis yang tiba di tempat kejadian kira-kira 11.50 malam, kemudian bertindak memecah masuk rumah tersebut lalu menemukan mayat pasangan itu yang berpakaian lengkap dalam keadaan membusuk," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata mayat Nilam berada di atas katil manakala mayat A Wahab yang mula reput dan berair pula terbaring di atas lantai bersebelahan katil tersebut.
Katanya siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah boleh dikaitkan dengan kematian pasangan itu, namun siasatan lanjut sedang dijalankan.
Mayat mereka dibawa ke Hospital Mersing untuk bedah siasat dan kematian itu setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut, katanya.
Mayat ditemui terapung
Sementara itu, seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang semasa memancing bersama dua rakannya di perairan Pulau Timbun Mata sempadan Kunak-Semporna pada Ahad lepas, ditemukan mati lemas dan mayatnya terapung di tenggara pulau itu petang tadi.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Leftenan Komander Radzil Allexender Raphael berkata, mayat Abdullah atau Arkin Unung, 18, ditemui pada pukul 4 petang oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan nelayan tempatan sebelum memaklumkam kepada Pusat Forward Operational Base (FOB) dan Unit Mencari dan Menyelamat MRSC Kota Kinabalu.
"Mayat dibawa ke FOB bagi pengecaman oleh ahli keluarga sebelum diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sementara itu, Radzil berkata APMM memandang serius terhadap kejadian kecemasan di laut dan sentiasa mengambil langkah serta inisiatif terbaik dalam usaha mengurangkan kadar kehilangan nyawa di laut.
"Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini ramalan cuaca melalui MCG Info yang boleh didapati melalui aplikasi ‘playstore’ dan ‘appstore’ di telefon bimbit," katanya.
- Bernama

