Parlimen bakal bentuk 6 jawatankuasa pilihan khas
PARLIMEN | Dewan Rakyat bakal membentuk enam jawatankuasa pilihan khas dwipartisan yang akan mengkaji RUU sebelum dibentangkan.
Hal ini diputuskan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang bertemu semalam bagi sesi Parlimen yang ke-14.
Parlimen ketika era pentadbiran terdahulu hanya memiliki lima jawatankuasa pilihan khas, termasuklah Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) dan tidak bertujuan untuk mengkaji RUU.
Pembentukan jawatankuasa ini secara rasmi akan mengurangkan dakwaan Dewan Rakyat hanyalah semata-mata 'pak turut' kepada parti pemerintah untuk meluluskan RUU.
Menurut kenyataan akhbar Parlimen hari ini, jawatankuasa itu akan dibenarkan mengadakan pendengaran untuk mengkaji RUU dan memanggil pakar-pakar untuk mendapatkan pandangan.
Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat mencadangan penubuhan 18 jawatankuasa tetapi pada peringkat awal hanya enam sahaja yang akan dibentuk terlebih dahulu.
Penyelidik, dana
Enam jawatankuasa pilihan khas parlimen itu ialah jawatankuasa menimbang rang undang-undang (RUU), jawatankuasa melantik jawatan-jawatan utama perkhidmatan awam, jawatankuasa bajet, jawatankuasa pertahanan dan hal ehwal dalam negeri serta jawatankuaa kesaksamaan gender.
Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan akan menyelaraskan sumber dan kakitangan yang diperlukan jawatankuasa khas berkenaan.
Di banyak negara yang mengamalkan sistem demokrasi Westminster, sesuatu jawatankuasa khas akan dilengkapi kakitangan penyelidik dan mendapat peruntukan kewangan untuk membantu jawatankuasa itu.
Kesemua jawatankuasa itu akan memiliki tujuh anggota dengan tempoh jawatan di antara tahun ke dua penggal.
Menurut manifesto PRU14 Pakatan Harapan, gabungan itu akan menginstitusikan sistem jawatankuasa khas parlimen bagi memantau setiap kementerian, dengan kuasa memanggil menteri dan pegawai kanannya untuk memberi keterangan.
Dalam wawancara eksklusif bersama Malaysiakini bulan lalu, Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata akan melaksanakan sistem jawatankuasa khas bagi memperkukuh fungsi parlimen untuk menyemak pihak eksekutif.
“Beberapa perkata adalah terbaik dicapai di peringkat jawatankuasa pilihan khas.
“(Jawatankuasa itu boleh) membawa pakar luar dalam perkara dibincangkan, pihak yanng berminat dengan tajuk itu” kata Ariff.
Di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, dua jawatankuasa khas dibentuk, satu jawatankuasa reformasi pilihan raya pada 2011 dan satu lagi mengenai kilang Lynas Advance Material Plant pada 2012. Kedua-dua jawatankuasa itu tidak mempunyai fungsi mengkaji RUU.

