Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Akta berita palsu: Kalau tak salah guna, kenapa nak mansuh?

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) mempersoalkan kewajaran untuk menghapuskan Akta Antiberita Tidak Benar sekiranya kerajaan Pakatan Harapan komited tidak menyalahgunakan akta berkenaan.

"Isunya salah guna, bukan akta. Isu salah guna pada akta. Apakah kerajaan HARAPAN yakin nak salah guna akta yang ada?

“Kalau kerajaan HARAPAN tidak salah guna (akta), apa keperluan untuk hapuskan akta ini?" katanya ketika membahaskan usul pemansuhan undang-undang itu di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan RSN Rayer (DAP-Jelutong) mengenai sama ada PAS bersetuju sekiranya HARAPAN tidak memenangi pilihan raya umum, kemungkinan akta berkenaan akan disalahguna bagi menzalimi pembangkang.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim berkata lagi, akta berkenaan perlu dikekalkan bagi memberi persepsi kepada rakyat bahawa kerajaan tidak bersetuju dengan berita palsu.

"Saya lihat akta ini perlu dikekalkan. Saya tengok ada budaya dalam kerajaan baru, maaf saya perlu sebut, terlalu banyak soal- hapus yang lama, tukar yang baru.

"Ia melibatkan kos yang perlu ditanggung rakyat. Sebagai contoh, kalau bimbang penyelewengan akta ini, saya fikir kerajaan baru tak perlu risau sehingga terpaksa ubah akta tersebut.

"Kalau hapus, akan ada persepsi kita tak setuju dengan (berita) yang benar," katanya lagi.

Pada April lalu, Dewan Rakyat telah meluluskan Akta Antiberita Tidak Benar selepas bacaan kedua dilakukan.

Akta itu diluluskan selepas mendapat sokongan sebanyak 123 undi dan 64 undi menolak. Undi sokongan itu juga turut termasuk 11 anggota parlimen PAS pada ketika itu.

Azalina: Jangan bakar kelambu

Sementara itu, bagi Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) pula, beliau turut tidak bersetuju akta berkenaan dimansuh dengan tergesa-gesa.

Menurut bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri berkenaan, kerajaan perlu melakukan perbincangan bersama pakar-pakar dalam bidang media sosial terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan untuk memansuhkan akta tersebut.

Azalina turut berpendapat, terdapat akta lain yang lebih penting untuk dibincangkan berbanding memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar ini.

"Kalau ia wajar dipinda secepat mungkin, kita boleh bincang dan panggil pakar-pakar dalam media sosial, kita panggil pihak Twitter, Facebook, Google dan bincang bagaimana undang-undang ini boleh bantu media sosial.

"Mungkin menteri boleh buat pindaan pada akta. Kalau kata akta ini zalim, kita pinda yang dikatakan zalim itu.

"Jangan tergesa-gesa. Jangan bakar kelambu kalau marah pada nyamuk," ujarnya.

Lihat Komen
ADS