Ab Rashid ketuai jawatankuasa pembaikan sistem pilihan raya
Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman akan mengetuai Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) yang baru dibentuk oleh Putrajaya.
Menurut kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri, jawatankuasa khas itu diberi tempoh dua tahun bagi menyiapkan tugasannya termasuk berhubungan dengan pihak-pihak berkepentingan dan mengkaji sistem demorasi di negara lain sebelum mengemukakan laporan dan perakuan kepada kerajaan untuk diperhalusi dan dilaksanakan.
Pelantikannya itu dikatakan sebagai satu kejutan kerana Naib Presiden BERSATU itu sering menjadi bidasan oleh DAP dan PKR - yang kini adalah sebahagian daripada gabungan pemerintah - semasa beliau menjadi pengerusi SPR antara November 2000 dan Disember 2008.
Beliau juga menjadi sasaran bidasan oleh badan pemantau pilihan raya BERSIH.
"Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Tan Sri Ab Rashid iaitu bekas pegawai awam yang berpengalaman luas dalam bidang pengurusan pilihan raya. Tan Sri Ab Rashid akan dibantu oleh beberapa orang ahli yang sedang dikenal pasti untuk dilantik bagi menjalankan tugas yang telah ditentukan bagi jawatankuasa itu.
"Dalam proses mengkaji segala aspek pengurusan pilihan raya, jawatankuasa perlu mendapatkan maklum balas dan cadangan-cadangan dari pelbagai pihak khususnya pihak berkepentingan termasuk parti-parti dan ahli politik, pengundi-pengundi, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan semua pihak yang berkepentingan," kata kenyataan itu, hari ini.
Jawatankuasa itu juga dipertanggungjawapkan mengubal undang-undang untuk mengawal selia kerajaan sementara dan memberikan kuasa kepada badan pengurusan pilihan raya (dalam hal ini SPR) untuk mengawal parti-parti politik.
Ketika ini, semua parti politik adalah di bawah kawalan Pendaftar Pertubuhan, yang juga mengendalikan persatuan.
Menurut PMO, Rashid akan dibantu oleh beberapa ahli jawatankuasa lain, yang masih belum dikenalpasti.

