Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lawatan Dr M ke China lakar sejarah baru antara kedua negara
Diterbitkan:  Aug 16, 2018 3:31 PM
Dikemaskini: 7:37 AM

Lawatan rasmi lima hari Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke China akan melakar sejarah baharu dalam penyatuan hubungan dua hala antara kedua-dua negara, kata Kementerian Luar hari ini.

Kenyataan Wisma Putra menyebut lawatan itu akan menyediakan tonggak strategik baharu dalam mencergaskan kerjasama di masa depan antara kedua-dua negara, terutamanya dalam bidang politik, perdagangan, pelaburan, pertanian, teknologi dan keselamatan serantau.

"Malaysia dan China akan terus mengekalkan hubungan dua hala yang akrab dan menyeluruh,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata lawatan rasmi itu, yang bermula esok sehingga 21 Ogos, adalah atas undangan Perdana Menteri China, Li Keqiang.

Dr Mahathir akan diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Turut mengiringi beliau ialah Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Perusahaan Utama Teresa Kok Suh Sim; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Ignatius Darell Leiking; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Datuk Liew Vui Keong; Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof; dan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu.

Wisma Putra berkata ini adalah lawatan sulung Dr Mahathir ke China selepas mengangkat sumpah jawatan pada Mei 2018.

Perdana Menteri melawat China tujuh kali sepanjang tempoh penggal beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat dari 1981 hingga 2003, kata kenyataan itu.

Wisma Putra berkata Dr Mahathir akan mengunjungi Hangzhou di mana beliau dijadual bertemu pemimpin wilayah, melawat ke ibu pejabat korporat Alibaba Group dan Zhejiang Geely Holding Group.

Di Beijing, perdana menteri akan bertemu masing-masing Perdana Menteri Li Keqiang dan Presiden Xi Jinping untuk membincangkan isu dua hala di samping isu serantau serta antarabangsa membabitkan kepentingan bersama.

Wisma Putra berkata Dr Mahathir dan Li akan menyaksikan majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi menandakan pengukuhan perkongsian strategik Kuala Lumpur-Beijing.

"MoU itu adalah dalam bidang pertanian dan agrokomoditi," menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata di Beijing, perdana menteri juga dijadual mengadakan dialog dengan usahawan terkemuka selain bakal pelabur dari China di samping menganjurkan majlis makan malam bersama diaspora Malaysia.

China merupakan rakan perdagangan terulung Malaysia sejak sembilan tahun lepas .

Pada 2017, jumlah dagangan dua hala antara kedua-dua hala mencecah RM290.65 bilion (US$67.72 bilion), kata Wisma Putra.

- Bernama

Lihat Komen
ADS