Paling Popular
Terkini

Presiden MIC yang baharu Tan Sri SA Vigneswaran hari ini mengesahkan bahawa parti tersebut akan berbincang sama ada untuk terus kekal dalam komponen BN atau tidak.

Bagaimanapun, menurutnya, buat masa ini, parti tersebut lebih fokus dalam proses menstruktur semula akar umbi MIC.

"Keputusan sama-ada untuk terus kekal atau keluar daripada BN bukan di tangan saya.

"Saya akan membawa isu ini ke mesyuarat jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC.

“Kami akan berbincang di sana dan mengambil satu keputusan sebulat suara," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di ibu pejabat MIC, sebentar tadi.

MIC, Umno dan MCA adalah parti terakhir masih berada di BN.

Sebanyak 10 daripada 13 parti komponen BN keluar daripada gabungan tersebut selepas kalah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Sementara itu, Vigneswaran yang juga speaker Dewan Negara berkata beliau tidak berasa Umno akan keluar daripada BN walaupun menggunakan lambang parti pada pilihan raya kecil (PRK) Sg Kandis.

"Pada pandangan saya, Umno sedia menggunakan lambang sendiri bagi melihat sejauh mana penerimaan pengundi Melayu terhadap Umno selepas dikalahkan pada PRU14 yang lalu.

“Mereka tidak kata mahu keluar dari BN. Jadi, buat apa kita nak kritik?" soalnya.

Ketika ditanya berkenaan hala tuju parti, Vigneswaran mengakui MIC perlu distruktur semula.

"Penstrukturan ini perlu bermula dari akar umbi. Kita nak membawa cara MCA, iaitu setiap anggota perlu mengesahkan keahlian melalui proses cap jari.

“Ini memudahkan untuk kita mengira semula kekuatan sebenar MIC," katanya.

Lihat Komen
ADS