Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Johor komited teruskan bina LRA Kahang
Diterbitkan:  Aug 16, 2018 3:38 PM
Dikemaskini: 7:45 AM

DUN JOHOR Kerajaan negeri komited untuk meneruskan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Kahang dekat Kluang bagi mengelakkan krisis bekalan air.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri Jimmy Puah Wee Tse berkata usaha terbabit juga mengambil kira pembangunan ekonomi yang semakin pesat di daerah itu.

"Cadangan pembinaan LRA Kahang dan sistem agihan airnya bermula pada 28 Nov tahun lepas, bagaimanapun Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri menerusi mesyuarat pada 3 Jan lepas menangguhkan pembinaannya," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ir Hasni Mohammad (BN-Benut) berhubung rancangan kerajaan negeri untuk membina LRA Kahang dan keupayaan loji itu bagi menampung keperluan bekalan air di Kluang.

Katanya berikutan itu, buat masa ini, kerja-kerja penyaluran air mentah dari Empangan Kahang ke LRA Sembrong Timur sedang dilaksanakan dengan kos RM53.99 juta.

Puah berkata kemajuan pembinaan paip penyaluran air mentah itu kini mencapai tahap 83.35 peratus, dijangka siap hujung September depan.

"Dengan adanya bekalan air mentah dari Empangan Kahang ke LRA Sembrong Timur dan keupayaan LRA Sembrong Barat, maka bekalan air untuk Kluang adalah mencukupi buat masa ini memandangkan penggunaan air terawat bagi Kluang adalah lebih kurang 90 juta liter sehari.

"Bagaimanapun untuk mengelak krisis air pada 2015 berulang dan kepesatan pembangunan ekonomi, maka saya telah berbincang dengan Menteri Besar Johor dan beliau bersetuju untuk meneruskan dengan pembinaan LRA Kahang," katanya.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS