Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
HARAPAN 100 hari: Rakyat yakin tapi berwaspada - kaji selidik
Diterbitkan:  Aug 16, 2018 4:12 PM
Dikemaskini: 8:19 AM

Sabtu, 18 Ogos, menandakan genap 100 hari kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkuasa dan satu tinjauan seluruh negara melalui telefon yang dijalankan oleh Kajidata Research sejak Jun menunjukkan rakyat Malaysia yakin dengan kerajaan baharu Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, mereka berbelah bagi dengan beberapa daripada tindakan yang telah ambil dalam memenuhi manifesto pilihan raya seperti yang disenaraikan dalam Buku Harapan.

Pada masa yang sama, tiga daripada 10 janji dalam manifesto itu yang menjadi keutamaan segera responden adalah penghapusan GST, pengembalian semula subsidi bahan api dan penangguhan bayaran balik PTPTN bagi mereka yang berpendapatan RM4,000 dan ke bawah.

Majoriti (83 peratus) daripada 1,040 responden menyambut baik perubahan dalam parti yang memerintah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tetapi hampir jumlah yang sama menyatakan mereka yakin (33 peratus), tidak yakin (33 peratus) dan tidak pasti (34 peratus) yang kerajaan baharu itu akan melaksanakan kesemua 10 janji terasnya dalam tempoh 100 hari pertama.

Sementara mereka sedar akan keputusan awal kerajaan Pakatan Harapan untuk membatalkan Projek Keretapi Pantai Timur (ECRL), MRT3, dan Projek Keretapi Kelajuan Tinggi (HSR) ke Singapura, orang ramai juga nampak tidak sependapat dalam hal itu.

Bilangan responden yang bersetuju atau tidak bersetuju projek ECRL dibatalkan adalah sama iaitu masing-masing 36 peratus, sementara bilangan lebih kurang sama (34 peratus) mahukan MRT3 diteruskan dan satu lagi kumpulan (33 peratus) berpendapat ia wajar dihentikan.

Panasihat Kajidata Research Profesor Datuk Dr Seri Syed Arabi Idid menunjukkan jika data mengikut negeri dipertimbangkan, adalah jelas mereka dari pantai timur mahu ECRL diteruskan dan mereka di Lembah Klang mahu MRT3 tetap dilaksanakan kerana ia akan membawa manfaat kepada komuniti tempatan.

Bagaimanapun, terdapat perbezaan ketara dalam pendirian mereka terhadap HSR dengan kebanyakan mereka (43 peratus) mahu ia dibatalkan sementara hanya 28 peratus mahu ia diteruskan.

Sementara itu, majoriti responden (53 peratus), kebanyakannya di Sabah dan Sarawak, mahukan Lebuh Raya Pan Borneo diteruskan dengan hanya angka yang lebih kecil (18 peratus) mahukan ia dihentikan.

Dalam soal sama ada kerajaan baharu akan terus melindungi hak-hak istimewa Bumiputera dan kedudukan Islam, sebilangan besar (49 peratus) menjawab tidak pasti dan sebilangan kecil (13 peratus) percaya kedua-duanya tidak terjamin.

Masyarakat Bumiputera Sabah dan Sarawak rata-ratanya berpendapat hak keistimewaan mereka akan terus terbela.

Syed Arabi berkata kebanyakan responden daripada negeri-negeri pantai timur yang diperintah oleh parti PAS yang tidak yakin dengan kedudukan Islam dan orang Melayu di bawah pemerintahan Pakatan Harapan.

Kajian itu juga menguji keyakinan responden terhadap set pertama enam orang menteri yang dilantik kerajaan Pakatan Harapan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin menduduki tangga teratas senarai (72 peratus), diikuti Datuk Seri Azmin Ali (68 peratus), Dr Mazlee Malik (67 peratus), Lim Guan Eng (60 peratus), Datuk Seri Wan Azizah (58 peratus) dan Mohd Sabu (54 peratus).

Beliau berkata kedudukan Muhyiddin di tangga teratas bukanlah di luar dugaan kerana beliau pernah berada dalam kerajaan Barisan Nasional sebelum ini dan Azmin pula mempunyai rekod perkhidmatan yang terbukti termasuk sebagai bekas Menteri Besar Selangor.

Populariti Dr Mazlee tinggi ketika itu kerana janji pengiktirafan kelayakan UEC bagi sekolah-sekolah persendirian Cina belum lagi menjadi isu yang besar.

Lebih separuh (53 peratus) daripada responden juga berpuas hati dengan langkah kerajaan baharu membuka semula siasatan terhadap kemelut 1MDB dan juga separuh daripada respoden (50 peratus) juga berpuas hati dengan langkah kerajaan mendedahkan hutang sebenar negara yang mencecah lebih RM1 trillion.

“Ini membayangkan ketelusan yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan,” kata bekas rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu.

Kajian itu juga mendapati 95 peratus daripada responden sedar akan kadar sifar cukai GST dengan 78 peratus menyokong langkah kerajaan Pakatan Harapan memansuhkan cukai yang membebankan itu.

Syed Arabi juga menjelaskan terdapat juga ramai responden yang memberi jawapan tidak pasti bagi banyak daripada soalan yang diajukan kemungkinan kerana mereka masih waswas dengan kerajaan PH yang belum teruji lagi.

Di pihak Pakatan Harapan, katanya, memenuhi janji-janjinya dalam tempoh 100 hari pastinya satu cabaran memandangkan terdapat banyak isu yang ia tidak jangka sebelum PRU14, seperti hutang negara yang besar dengan ia perlu memikirkan semula atau membuat perubahan pada janji-janji yang dibuat itu.

“Selepas 100 hari, pandangan orang ramai akan kerajaan PH pasti kritikal,” kata Syed Arabi yang menambah kata Kajidata akan terus memantau persepsi orang ramai akan kerajaan Pakatan Harapan selepas 100 hari.

Kajidata Research mengkusus dalam pengumpulan data Komersil dan Sosial yang memberikan input melampaui data dan membolehkan tindakan-tindakan bernas. Para responden kajian dipilih daripada kumpulan umur, bangsa, pendidikan dan pendapatan berlainan dari seluruh negara menggunakan kaedah persampelan rawak berstrata.

- Bernama

Lihat Komen
ADS