Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Calon 'neutral' pemilihan PKR yakin ada kelebihan

Pertembungan kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan pencabarnya Rafizi Ramli pada pemilihan parti PKR kali ini membuka peluang kepada calon-calon 'neutral'.

Demikian kata calon naib presiden, Datuk Dr G Balasubramaniam yang turut mengakui pemilihan kali ini agak sengit berbanding dengan pemilihan sebelumnya.

"Saya percaya dan agak yakin pertembungan calon-calon daripada kem Azmin Ali yang dikenali sebagai kumpulan AA dan Rafizi Ramli memberi ruang kepada calon 'neutral' iaitu calon-calon yang tidak disokong oleh kedua-dua kem," katanya.

Balasubramaniam mendakwa beliau adalah calon neutral.

Selain Bala, 11 lagi anggota bertanding bagi empat jawatan naib presiden.

Empat anggota parlimen dipercayai dari kem Rafizi, iaitu Nurul Izzah (Permatang Pauh),Johari Abdul (Sungai Petani), William Leong (Selayang) dan S Kesavan (Sungai Siput).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar dan bekas anggota parlimen Batu Tian Chua pula dari kem Azmin.

Turut disebut dalam kem Azmin adalah Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Mohd Akin dan bekas tahanan ISA K Vasantha Kumar.

Pengerusi PKR negeri Terengganu, Azan Ismail yang merupakan satu-satunya calon naib presiden tunggal dari Pantai Timur tidak menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak.

Menurut Bala, bukan sahaja di pemilihan naib presiden, pemilihan bagi jawatan Majlis Pusat Pimpinan (MPP) juga akan menyaksikan kecenderungan sama.

"Sebanyak 91 anggota bertanding bagi 20 jawatan MPP.

"Kalau kita tolak 40 calon masing-masing 20 anggota mewakili kem Azmin dan Rafizi sebanyak 51 calon merupakan calon neutral.

“Peluang kemenangan bagi mereka agak terbuka," ujarnya.

 

Lihat Komen
ADS