Akibat cuba memungut zakat dengan membuat promosi melalui potongan gaji tanpa kebenaran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), empat perunding insurans masing-masing dijatuhi hukuman denda maksimum RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini.

Hakim Syarie Mohamed Fouzi Mokhtar menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Hisham Dahalan, 50, Siti Nurul Hayati Ithnin, 41, Rosilah Osman, 53, dan Waheeda Muhamad, 51, selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.

Hakim turut memerintahkan tiga wanita dan seorang lelaki itu dipenjara empat bulan, jika mereka gagal membayar denda. Mereka membayar denda.

Kes cuba memungut zakat oleh individu yang bukan amil atau orang yang diberi kuasa oleh MAIWP ini merupakan kes pertama di Wilayah Persekutuan.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Mohamed Fouzi berkata hukuman yang diberikan bertujuan untuk mendidik dan memperingati pesalah serta mahkamah turut mengambil kira kes ini yang merupakan kes pertama pihak pendakwaan membabitkan kesalahan pungutan zakat.

"Dalam kes ini, mahkamah mengambil keputusan untuk mengenakan hukuman denda maksimum… memandangkan ini adalah kesalahan pertama, kamu semua terlepas daripada hukuman penjara dan mahkamah tidak akan teragak-agak untuk menjatuhkan hukuman penjara, sekiranya kamu mengulangi kesalahan sama," kata hakim itu.

Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kesalahan itu di ruang legar, tingkat 5, Menara Kembar Bank Rakyat, 33 Jalan Rakyat, Brickfields, pada 2.59 petang, 6 Mac 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 47(1)(b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, dibaca bersama Seksyen 33 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketika rayuan bagi mengurangkan hukuman, Mohd Hisham dan Rosilah berkata kutipan zakat itu adalah bertujuan untuk membantu pusat tahfiz dan mereka tidak sedar ia adalah satu kesalahan, dan kesemua tertuduh memohon hukuman ringan.

Pegawai Pendakwa Syarie dari MAIWP Mohamad Shahidan Abdul Ghapar pula memohon kesemua tertuduh dikenakan denda maksimum RM3,000 supaya dapat memberi pengajaran kepada mereka dan pihak lain untuk tidak melakukan kesalahan sama.

"Kesemua tertuduh bukanlah amil yang dilantik atau diberi kuasa oleh (MAIWP) untuk mengutip zakat dan sekiranya gelaja ini tidak dibendung, ia akan memberi pandangan negatif masyarakat terhadap MAIWP," katanya yang turut memaklumkan kes itu merupakan kes pertama di Wilayah Persekutuan.

- Bernama