Usul carutan Bung Moktar ditangguh
PARLIMEN | Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin memohon agas usulnya yang mencadangkan Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan ditangguhkan ke sidang parlimen berikutnya.
Speaker Datuk Mohamad Ariff Mohd Yusof mengumumkan perkara itu di Dewan Rakyat malam ini dengan berkata bahawa Bung Moktar sudah bersetuju untuk mengeluarkan permohonan maaf terbuka.
"Difahamkan anggota parlimen Kinabatangan telah bersetuju untuk meminta maaf atas menggunakan perkataan kurang sopan ketika sesi 7 Ogos.
"Walaubagaimanapun beliau memohon untuk meninggalkan mesyuarat atas urusan terdesak dan berjanji akan memohon maaf secara terbuka di dewan pada mesyuarat akan datang," katanya.
Terdahulu, Bung Moktar membidas usul Zuraida sebagai tidak adil dan sengaja menyasarkan dirinya.
Usul itu berhubung tindakan Bung Moktar mengucapkan perkataan kurang sopan di Dewan Rakyat yang disifatkan mencemarkan nama baik parlimen.
Meskipun notis itu tidak menyebutkan secara spesifik tindakan Bung Moktar, ia dipercayai mempunyai kaitan dengan carutan yang diucapkan oleh anggota parlimen itu di Dewan Rakyat 7 Ogos lalu ketika membahaskan Rang Undang-undang Cukai Jualan 2018.

