Bekas ahli majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Halimey Abu Bakar dipilih sebagai calon PKR untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia pada pilihan raya kecil (PRK) 8 September ini.
Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan perkara itu pada majlis pelancaran jentera PRK DUN Seri Setia di Padang Terbuka Desa Mentari, Petaling Jaya, malam ini.
Wan Azizah berkata, pemilihan Halimey yang merupakan anak tempatan diharap akan dapat mengekalkan kemenangan PKR di DUN itu.
"Kita hantar nama kepada pimpinan dan pimpinan mempunyai perbincangan, dan saya sempat berbincang dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saya rasa kepimpinan mempunyai kebijaksanaan untuk memilih anak tempatan dan berpengaruh besar di kawasan ini.
"Jadi, saya umumkan calon anak tempatan, Halimey.
"Dan kali ini, kita akan bertanding menggunakan logo HARAPAN. Justeru, saya mohon semua tolonglah beri undi kepada HARAPAN sekali lagi. Semua pengundi perlu keluar mengundi HARAPAN,” katanya.
Setakat ini, selain Halimey, calon lain yang akan bertanding di PRK Seri Setia adalah Dr Halimah Ali yang mewakili PAS.
Seramai 52,650 pengundi berdaftar dijangka keluar mengundi pada PRK berkenaan yang diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lalu.
Pada pilihan raya umum Ke-14 (PRU-14), Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi.
Halimey yakin kalahkan Dr Halimah
Terdahulu, Dr Wan Azizah menyerahkan watikah kepada Halimey sebagai calon PKR selain turut melancarkan jentera PRK parti itu.
Sementara itu, calon PKR Halimey memberitahu pemberita, beliau yakin mampu mempertahankan kerusi yang dimenangi parti itu dalam pilihan raya umum lalu.
Halimey berkata, perkara itu berdasarkan sokongan padu daripada penyokong akar umbi dan masyarakat setempat yang berkeyakinan penuh dengan kewibawaan HARAPAN.
Justeru, calon berusia 46 tahun itu menyeru pengundi di kawasan Seri Setia untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi pada 8 September depan.
“Manifesto saya adalah meneruskan tradisi yang mana kita telah buat selama ini dan saya mahu tambah baik dengan beri penekanan di kawasan Lembah Subang. Kawasan ini adalah lokasi PPR (Projek Perumahan Rakyat).
"Kita akan tambah baik Lembah Subang dan kawasan lain yang banyak rumah pangsa di Seri Setia,” katanya.
Halimey dalam pada itu turut menyatakan keyakinannya dalam menentang calon PAS.
“Ini adat bertanding, PAS dengan calon dan manifestonya tetapi kami PKR akan pastikan kemenangan ini selain menyasarkan lebihan keluar mengundi lebih tinggi,” tambahnya ketika diminta mengulas mengenai cabaran daripada PAS.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Balakong dan Seri Setia diadakan serentak pada 8 September dengan hari penamaan calon ditetapkan 18 Ogos dan hari mengundi awal 4 September ini.
PAS tidak meletak calon pada PRK DUN Balakong selepas MCA membuat keputusan bertanding, begitu juga di PRK Sungai Kandis, 4 Ogos lalu apabila Umno meletakkan calonnya di kerusi tersebut.
Turut hadir pada majlis itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dan ADUN Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan barisan kepimpinan Selangor yang lain.
