Bala: Bebaskan saya...atau biarkanlah saya mati...
Terjemahan Bekas pemimpin cawangan MIC, Balakrishnan Appala Naidu "menyerahkan" hidup matinya di tangan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Terjemahan Bekas pemimpin cawangan MIC, Balakrishnan Appala Naidu "menyerahkan" hidup matinya di tangan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Balakrishnan yang mogok lapar sejak semalam, berikrar akan berbuat demikian sehinggalah Abdullah datang melawatnya di Kuala Balah, Kelantan tempat dia dikenakan perintah kediaman terhad di bawah Ordinan Darurat (OD).
"Saya membahayakan diri saya sendiri demi untuk mendapatkan keadilan," kata Balakrishnan ketika dihubungi malaysiakini. Beliau mendakwa tahanan berterusan oleh pihak polis terhadapnya di bawah Ordinan Darurat adalah tidak adil, dan beliau telah menggunakan semua saluran yang ada untuk mendapatkan kebebasan atau didakwa di mahkamah atas tuduhan terhadapnya.
"Sebagai seorang pemimpin cawangan MIC, saya telah menyumbang kepada masyarakat saya dan kepada negara. Dan dalam akhbar dan televisyen, saya ada mendengar Perdana Menteri berkata yang beliau akan membantu rakyat yang memerlukannya," katanya.
"Saya tahu Perdana Menteri akan memberi perhatian terhadap kes saya," kata Balakrishnan.
Satu memorandum mengenai keperitan yang dialaminya telah diserahkan sendiri kepada Abdullah oleh saudara Balakrishnan, ketika Perdana Menteri melawat kawasan pilihanraya kecil Pengkalan Pasir pagi semalam.
Isteri Balakrishnan, M Rukumani Devi, turut mogok lapar bersama suaminya malam tadi.
"Dia kata kalau saya ditakdir mati, tiada guna lagi baginya untuk terus hidup," kata Balakrishnan yang mempunyai dua anak perempuan berusia dua dan empat tahun.
Balakrishnan kedengaran begitu keletihan ketika bercakap di telefon. Saudara lelakinya, A Thirumoorthy, berkata lidah dan bibir Balakrishnan merekah kerana kekeringan dan keadaan itu membimbang ahli keluarganya.
Di hospital
Balakrishnan memimpin MIC cawangan Sungai Dua Tambahan, Rawang, selama 11 tahun. Beliau mendakwa, pada awal 2004, pesaing politiknya cemburu terhadapnya dan sengaja menganiaya dirinya dengan membuat pelbagai tuduhan.
Berikutan itu, beliau ditahan di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 dan dihantar ke pusat tahanan Simpang Renggam pada 29 April 2004.
Ordinan Darurat membenarkan pihak berkuasa menahan seseorang yang disyaki penjenayah tanpa dibicarakan selama dua tahun, dan selepas itu, Menteri Keselamatan Dalam Negeri mempunyai kuasa untuk melanjutkannya.
Ini merupakan kali kedua Balakrishnan mogok lapar. Beliau mogok lapar selama 16 hari ketika ditahan di Sungai Renggam, kerana mendakwa ia dilakukan secara tidak sah, dan terpaksa dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Awal tahun ini, Mahkamah Tinggi Johor mengisytiharkan penahanan Balakrishnan tidak sah dan memerintahkan supaya dia dibebaskan. Bagaimanapun, dia ditangkap semula, atas tuduhan yang sama, sejurus selepas dibebaskan.
Dwi-standard
Beliau mendakwa, penahanan semulanya itu menunjukkan pihak polis dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri tidak menghormati keputusan mahkamah.
Beliau juga merujuk kepada perintah mahkamah membebaskan Koo Tee Yam, seorang jutawan yang turut ditahan di bawah ordinan yang sama kerana disyaki terbabit dalam kegiatan jenayah. Noh sebelum ini secara terbuka berkata pihak polis patut menghormati keputusan mahkamah membebaskan Koo.
"Apa bezanya antara Koo dan saya? Adalah kerana dia lebih berpengaruh?" soal Balakrishnan yang ditahan semula dan selepas itu dikenakan perintah kediaman terhad.
Di bawah perintah tersebut, Balakrishnan tidak dibenarkan meninggalkan Kuala Balah dan mesti melaporkan diri di balai polis Jeli setiap minggu.
Pada masa ini, Balakrishnan tinggal di sebuah rumah yang dibina oleh penduduk kampung di situ dan terletak di tepi Jalan Kuala Balah. Poster mengenainya turut ditampal pada rumah tersebut.
"Saya mungkin merupakan satu-satu orang India di kampung itu, tetapi penduduknya amat bimbangkan keadaan saya. Mereka menyokong niat saya itu," kata Balakrishnan.
Katanya, beliau tidak pernah putus asa untuk mendapatkan bantuan Abdullah, dan yakin perdana menteri tidak akan membiarkan 'mati sia-sia". Berita asal

