Dzaiddin pengerusi suruhanjaya siasat prosidur pemeriksaan tubuh
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dzaiddin Abdullah dilantik mempengerusikan Suruhanjaya Untuk Menyiasat Prosedur Tetap Operasi, Kaedah-Kaedah atau Peraturan-Peraturan Berhubung Dengan Pengendalian Pemeriksaan Tubuh Berkenaan Dengan Penangkapan dan Penahanan Polis di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 berkuatkuasa semalam.
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dzaiddin Abdullah dilantik mempengerusikan Suruhanjaya Untuk Menyiasat Prosedur Tetap Operasi, Kaedah-Kaedah atau Peraturan-Peraturan Berhubung Dengan Pengendalian Pemeriksaan Tubuh Berkenaan Dengan Penangkapan dan Penahanan Polis di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 berkuatkuasa semalam.
Suruhanjaya itu, yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail, diberikan tempoh masa selama 30 hari bekerja dari semalam untuk menyiapkan laporan siasatan berhubung penyiasatan itu, menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri di Kuala Lumpur.
Suruhanjaya itu, yang antara lain untuk menentukan sama ada wanita yang imejnya digambarkan dalam video klip melakukan ketuk ketampi dalam keadaan berbogel, merupakan seorang daripada lima rakyat China yang ditangkap dan ditahan polis, turut dianggotai oleh empat lagi bekas ahli jawatankuasa Suruhanjaya Khas Penambahbaikan Perjalanan dan Penggurusan Polis Diraja Malaysia.
Mereka terdiri daripada bekas timbalan presiden MCA Tan Sri Lim Ah Lek, peguam dan Ketua Biro Undang-Undang Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim, bekas presiden Majlis Peguam Malaysia Khuthubul Zaman Bukhari dan Datuk Hamzah Mohamed Rus yang akan bertindak sebagai setiausaha. (Dzaiddin adalah bekas pengerusi suruhanjaya itu)
Selain itu, menurut Bernama, suruhanjaya itu juga diberi tanggungjawab untuk menyiasat pengendalian pemeriksaan tubuh terhadap wanita tersebut serta menentukan sama ada atau tidak, terdapat apa-apa ketidakwajaran dalam pengendalian pemeriksaan tubuh ke atas wanita tersebut.
Pemeriksaan tubuh
Suruhanjaya itu juga turut diarahkan menyiasat Prosedur Tetap Operasi, kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan berhubung dengan pengendalian pemeriksaan tubuh berkenaan dengan penangkapan atau penahanan polis dan untuk mengesyorkan apa-apa pindaan atau perubahan kepada Prosedur Tetap Operasi, kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan mengenai pengendalian pemeriksaan tubuh berkenaan dengan suatu penangkapan dan penahanan polis.
Isu itu mendapat perhatian rakyat dan media setelah didedahkan oleh ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim Khamis lalu di lobi Parlimen.
Rakaman video itu menunjukkan seorang wanita dipercayai rakyat China yang bogel dan diarah membuat ketuk ketampi oleh anggota polis wanita.
Berikutan pendedahan itu, ramai pihak membantah tindakan sedemikian dan menimbulkan rasa tidak puas hati dari Beijing sehingga meminta penjelasan berhubung insiden tersebut.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyifatkan insiden berkenaan sebagai memalukan serta menjejaskan imej polis, bertindak segera menubuhkan satu suruhanjaya bebas bagi menyiasat kes berkenaan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.