Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Abdul Aziz Shamsuddin membidas dua kesatuan sekerja yang menolak saranan beliau minggu lepas untuk guru menandatangani kontrak akujanji yang baru agar berkelakuan baik dan tidak menentang kerajaan.

"Salahkah kita mengusulkan (sesuatu) yang baik? Adakah mereka lebih suka usul-usul yang (bersifat) memberontak dan mengganas?" katanya. "Apakah menandatangani perjanjian itu sesuatu yang memalukan?"

Beliau menjelaskan, "kekeliruan dan ketidaksempurnaan" sebilangan kecil guru yang menyebabkan cadangan itu dikemukakan.

"Kita jangan anggap yang kecil (kumpulan menentang kerajaan) itu tidak berbahaya kerana kecil-kecil, lama-lama menjadi api," tambah Abdul Aziz, selepas merasmikan persidangan kedua Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu di Kuala Lumpur petang ini.

Kongres Kesatuan Sekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) semalam menolak cadangan Kementerian Pendidikan dengan alasan Peraturan Pegawai Awam dan Tatatertib 1993 sudah memadai.

"Tidak perlu satu kontrak lain yang khusus ..." kata Setiausaha Agungnya, Abdul Rahman Manan.

Mengulas saranan kementerian itu, Abdul Rahman berkata kontrak itu - jika dikuatkuasakan - akan menambahkan perasaan tidak berpuas hati dan kekecewaan di kalangan guru dan kakitangan awam terhadap kerajaan.

"Seolah-olah kami dicurigai ataupun tidak dipercayai sedangkan selama ini lebih 98 atau 99 peratus kakitangan awam telah menunjukkan kesetiaan terhadap kerajaan," katanya.

'Tidak cermin pendapat ahli'

Sementara Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) awal minggu lalu juga tidak menerima saranan itu. Setiausaha Agungnya Datuk N Siva Subramaniam memberitahu malaysiakini , kontrak itu tidak menjamin guru lebih bertanggungjawab dan dedikasi.

Sebaliknya beliau mencadangkan pengenalan kod etika untuk guru-guru bagi mengatasi isu-isu berkaitan hal itu dan profesionalisme.

Ahad lalu, Abdul Aziz berkata, kerajaan bercadang mewajibkan guru-guru sekolah menandatangani kontrak bagi memastikan mereka "lebih bertanggungjawab" dalam tugas mendidik pelajar.

Tambahnya, beliau akan berbincang dengan Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamad mengenai cadangan itu bagi membolehkan ia dilaksanakan serentak dengan perjanjian ke atas pelajar dan pensyarah universiti mulai tahun depan.

"Kita juga akan buat perjanjian dengan guru yang baru masuk dan yang sedang berkhidmat selepas ini," Abdul Aziz dilaporkan berkata.

Terdapat kira-kira 284,000 guru sedang berkhidmat dengan kerajaan di seluruh negara.

Abdul Aziz hari ini mendakwa penolakan cadangan itu oleh beberapa pemimpin kesatuan sekerja itu "tidak mencerminkan pendapat keseluruhan ahlinya."

Katanya, sebelum ini tidak ada perintah khusus kecuali mewajibkan kakitangan kerajaan menandatangani Perintah Am.

Tidak yakin dasar pendidikan

"Memang ada Perintah Am tetapi berapa orang yang menandatangani dan membaca (memahami) perintah itu. Ia dipandang sambil lewa. Oleh itu ia mesti dicetak, bukan sahaja di kertas tapi di mata, di tangan dan di hati (guru)," tambahnya.

Ditanya kandungan perjanjian tersebut, beliau berkata cadangan itu masih di peringkat awal dan isi perjanjian belum dibincangkan.

Mengulas gesaan NUTP semalam kepada kerajaan agar melantik sebuah suruhanjaya diraja untuk mengkaji semula sistem pendidikan yang dianggap "ketinggalan zaman" dan gagal menghadapi ancaman gejala sosial, Abdul Aziz berkata: "Jangan buat tuduhan melulu. Kalau beliau fikir sistem yang ada sudah ketinggalan, beliau sepatutnya berjumpa kita (kementerian).

Beliau, yang bersetuju keperluan kajian semula itu, bagaimanapun berkata, semakan hanya dijalankan terhadap dasar-dasar pendidikan apabila difikirkan perlu.

Beliau turut menerangkan kementerian sentiasa mengadakan perbincangan dengan pegawai-pegawai berkenaan setiap minggu bagi membincangkan masalah yang timbul.

Suruhanjaya diraja yang dicadangkan Setiausaha Agung NUTP itu perlu mengkaji semula struktur pendidikan dan merumuskan cadangan mengenai cara untuk meningkatkan mutu pendidikan dan mengatasi masalah sosial di kalangan pelajar.

"Rakyat tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap dasar-dasar Kementerian Pendidikan. Mereka (kementerian) harus merujuk semula kepada rakyat dan mendapatkan cadangan mereka," kata Siva selepas menghadiri forum 'Masalah Sosial di kalangan Pelajar India' anjuran NUTP di Ipoh semalam.