Kontrak tamat: Saya tidak tahu lagi, kata Ali Hamsa
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa enggan mengulas lanjut mengenai spekulasi bahawa beliau dijadualkan bersara berikutan kontrak perkhidmatannya dikatakan bakal tamat pada 29 Ogos ini.
Portal Utusan Malaysia memetiknya sebagai berkata, beliau juga tidak mengetahui sama ada status kontraknya akan disambung atau ditamatkan.
“Saya tidak tahu lagi.. belum boleh komen lagi, sekarang ada mesyuarat kabinet,” katanya yang dipetik oleh portal itu.
Akhbar The Star hari ini melaporkan Ali akan bersara pada akhir bulan ini di sebalik ada cadangan untuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengekalkan pegawai tertinggi berusia 63 tahun itu sehingga akhir tahun ini.
Difahamkan, perkhidmatannya sebelum ini disambung secara kontrak ketika pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ali memegang jawatan berkenaan sejak enam tahun lalu.
Utusan Malaysia juga melaporkan antara individu yang disebut-sebut bakal mengisi jawatan ketua setiausaha negara termasuklah Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC),Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

