Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Projek Rumahwip 'bermasalah' akan dilapor ke SPRM

Projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) yang didakwa dilaksanakan tidak mematuhi prosedur kerajaan akan dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata kajian oleh jawatankuasa khas menunjukkan terdapat beberapa projek yang diragui, namun ada projek berkenaan yang masih boleh diteruskan kerana tidak bermasalah.

Katanya, bagi projek yang memerlukan rundingan, pihaknya akan berjumpa dengan pihak pemaju untuk membuat perbincangan.

"Hasil daripada kajian dalam beberapa pertemuan dengan pihak jawatankuasa khas untuk menyiasat 97 projek tersebut, terdapat projek yang boleh diteruskan, tetapi ada juga projek-projek yang masih boleh dirunding dan juga projek yang memerlukan siasatan yang terperinci," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel di Kuala Lumpur.

Mesyuarat kabinet

Khalid berkata syor kajian ini akan dibentangkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada mesyuarat kabinet hari ini.

"Jika beliau (Tun Dr Mahathir) kata okay kepada syor yang kita majukan, kita akan teruskan perlaksanaan ini,” katanya.

Khalid berkata kerajaan terdahulu mengamalkan konsep tender tertutup dan rundingan terus untuk perlaksanaan projek Rumawip yang mendedahkan kepada kemungkinan wujudnya rasuah dalam perolehan projek.

Julai lepas, media melaporkan Anggota Parlimen Kepong Lim Lip Eng mahu SPRM menyiasat segera dakwaan awal 64 lot penjualan tanah kerajaan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada pemaju yang didakwanya tidak mematuhi prosedur kerajaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS