Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub mencabar rakan sejawatannya dari Umno, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn berdebat mengenai isu penyelewengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan syarikat-syarikat berkepentingan kerajaan (CLC).

Salahuddin bersedia berebat pada bila-bila masa sebelum pilihanraya kecil Pengkalan Kecil diadakan pada 6 Disember ini.

Cabaran rasmi Salahuddin itu dinyatakan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Dewan Pemuda PAS semalam.

Salahuddin mencadangkan perdebatan itu diadakan di Stadium Mini Pasir Mas di bawah tajuk "Penyelewengan dan pengkhianatan terhadap Dasar Ekonomi Baru dan syarikat-syarikat berkepentingan negara".

Semalam dalam satu sidang akhbar di Pasir Mas, Salahuddin mencabar Pemuda Umno berdebat mengenai isu-isu kepentingan Melayu, Beliau mendakwa Pemuda Umno tidak mempertahankan DEB dan tidak berjuang meningkat ekonomi orang Melayu.

Sementara itu laporan akhbar hari ini melaporkan Pemuda Umno enggan melayan cabaran Salahuddin itu.

Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin dalam sidang akhbarnya petang semalam berkata, Pemuda Umno tidak mempunyai masa untuk perkara remeh temeh itu kerana sibuk berkempen untuk memenangkan calon Barisan Nasional (BN) di Pengkalan Pasir.

Khairy sebaliknya menganggap cabaran Salahuddin itu sengaja dibangkitkan bagi menarik sokongan pengundi dan untuk menutup kelemahan serta kegagalan PAS membantu orang Melayu di Kelantan

Beliau berkata, semua isu yang bangkitkan oleh Pemuda PAS tidak tepat dan Pemuda Umno sudah menyatakan pendirian terhadap isu berkenaan.