Harga gas asli untuk kenderaan (NGV) yang dijual di stesen-stesen servis Petronas naik daripada 68 sen kepada 81 sen selitar mulai semalam.

Petronas mengumumkan bahawa penyelarasan harga NGV sebanyak 13 sen itu telah diluluskan bulan lalu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Dalam satu kenyataan semalam, Petronas berkata pada tahap 81 sen seliter, perbezaan harga NGV kini adalah 50 peratus daripada harga gasolin.

Menurut Bernama, ini adalah seiring dengan kelulusan terdahulu kerajaan bahawa harga NGV sepatutnya berada pada 50 peratus berbanding harga gasolin, yang pada masa ini harga runcitnya 162 sen seliter, katanya.

Petronas, menerusi anak syarikat Petronas NGV Sdn Bhd, telah memaklumkan kepada semua persatuan dan syarikat teksi berhubung pelarasan harga itu.

Notis-notis juga telah dihantar ke semua stesen servis Petronas yang menjual NGV kepada para pengguna.

Selain daripada itu, Petronas juga telah mengeluarkan pekeliling mengenai pelarasan harga itu kepada semua wakil stesen yang berkaitan.