Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Masa depan PAS di pantai timur lebih baik di era HARAPAN'

WAWANCARA | Bagi tokoh veteran PAS Datuk Mustafa Ali, kedudukan parti itu yang mentadbir Kelantan dan Terengganu akan terus kukuh di era kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Pengerusi Lembaga Penasihat PAS itu berkata, BN ketika menjadi kerajaan pusat mengambil pendekatan menekan kerajaan negeri.

Berbeza dengan keadaan sekarang di mana hubungan pusat dan negeri agak baik selain komitmen HARAPAN untuk membebaskan media, katanya lagi.

"Keadaan sekarang berbeza dengan ketika kita mengambil alih Terengganu pada 1999. Ketika itu BN dengan Umno sebagai tunjangnya masih memerintah negara.

"Ada gangguan terhadap pentadbiran kita di negeri. Sekarang Umno bukan lagi kerajaan dan saya rasa hubungan antara kerajaan negeri dan pusat lebih memudahkan kita untuk melaksanakan perancangan," katanya semasa wawancara dengan Malaysiakini di Kuala Terengganu Rabu lalu.

Pada PRU lalu, PAS menang besar di dua negeri pantai timur itu, apabila menguasai 22 daripada 32 kerusi DUN di Terengganu dan 37 daripada 45 kerusi DUN di Kelantan.

Mengulas lebih lanjut tekanan BN kepada PAS suatu ketika dulu, bekas setiausaha agung PAS itu berkata antaranya dengan mengganggu perjalanan pentadbiran negeri dan propaganda di media.

"Misalnya dulu kita sudah ada jawatankuasa keselamatan dan kebajikan kampung (JKKK), mereka tubuh yang lain. Begitu juga dengan propaganda di televisyen yang berjalan.

"Sekarang tidak ada, HARAPAN pun kata nak bebaskan media. Media yang tidak digunakan parti pemerintah untuk menghentam adalah baik untuk kita," katanya lagi.

Dulu dan sekarang

Bagaimanapun Mustafa yang kini menjadi pengerusi lembaga penasihat PAS mengakui masih awal untuk menilai pentadbiran HARAPAN, termasuk layanannya terhadap negeri yang dikuasai pembangkang.

Namun beliau tetap yakin ia akan memberi kelebihan kepada PAS untuk mengekalkan menang di negeri yang dikuasainya.

"Dulu kita kalah (di Terengganu selepas sepenggal memerintah) bukan kerana penolakan rakyat, tetapi oleh perancangan dan penipuan pemerintah ketika itu.

"Apabila kita sedar tentangnya ia sudah terlambat, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terlalu dikuasai parti pemerintah.

"Tetapi kali ini BN tiada kuasa di pusat dan lemah di negeri, saya rasa tiada masalah untuk kita terus kekal memerintah Terengganu," katanya.

'Pantai timur hanya kenal PAS dan Umno'

Bagaimana pula dengan ancaman daripada HARAPAN sendiri, apatah lagi Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebut untuk melebarkan sayap di dua negeri itu dalam ucapan pertamanya selepas mendapat pengampunan diraja Mei lalu?

Bagi Mustafa, ia sesuatu yang sukar kerana pengundi di Kelantan dan Terengganu hanya "mengenali" PAS dan Umno.

"Mana-mana parti mahu luaskan pengaruh, tetapi dalam konteks politik dua negeri ini, dominasi hanya antara dua parti - PAS dan Umno.

"Sukar untuk mereka lari ke parti lain. Jadi ancaman daripada HARAPAN tidak begitu kuat buat masa ini," katanya lagi.

Di sebalik keputusan bersejarah yang dicapai HARAPAN pada PRU lalu, gabungan itu mencatat prestasi yang teruk di dua negeri itu, apabila gagal menang sebarang kerusi di peringkat DUN dan parlimen.

Wawancara 1: Janji 100 hari HARAPAN: Mustafa pertahan kerajaan

Lihat Komen
ADS